• Tuan Ibrahim Tuan ManTuan Ibrahim Tuan Man
 1 / 1 
KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan wujud kumpulan tertentu dalam parti Islam itu walaupun dua golongan iaitu profesional dan ulama parti itu didakwa tidak sefahaman.

Menurutnya, tiada istilah kumpulan wujud dalam parti Pas dan kesemua bahagian tidak mengira peringkat bawahan mahupun kepimpinan tertinggi tetap mendukung satu perjuangan yang sama.

“Dalam Pas tiada kumpulan, dalam mana-mana isu sekalipun, kita sebagai ahli wajib mempertahankan prinsip parti, mana-mana parti pun sama, kita pertahankan prinsip bagi mengelak daripada anasir dan tohmahan negatif,”katanya kepada media selepas merasmikan Muktamar Muslimat Pas Kelantan ke 42 di Pusat Tarbiah Islamiah di sini.

Beliau diminta mengulas sokongan terhadap Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila dilihat tidak sependapat dengan ahli kepimpinan lain yang bersetuju jawatan Abdul Hadi dipertandingkan.

Tuan Ibrahim berpendapat, jawatan presiden tidak perlu dipertandingkan kali ini berdasarkan keupayaan Abdul Hadi yang berjaya memimpin parti kini, namun tindakan itu didakwa memperlihatkan beliau adalah ‘ahli kumpulan’ yang menyokong Abdul Hadi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas isu penolakan hudud yang dilakukan Lim Kit Siang ketika mengadakan ceramah baru-baru ini, beliau berkata, Pas Pusat menyerahkan keputusan perbincangan tersebut kepada Pas Negeri.

“Kita menyerahkan keputusan kepada Pas Negeri untuk bincang dengan Pas Kawasan Kota Bharu berkenaan isu tersebut, saya juga difahamkan satu perjumpaan akan diadakan nanti, kita serahkan kepada pas Kelantan,”katanya.

Ketika ditanya mengenai harapannya menjelang muktamar akan datang, Tuan Ibrahim menyeru agar semua kepimpinan membuat keputusan bijak dan lebih fokus kepada kemampuan menjaga parti bagi persediaan untuk masa hadapan.

“Bagi saya, kita bukan nak lawan siapa pun, kita semuanya berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan, kita minta perwakilan pilih yang terbaik, di kalangan calon-calon yang ada ini yang mana boleh membawa parti berdepan dengan cabaran akan datang sama ada dalaman ataupun luaran bersama PR,”katanya.