• Tun MahathirTun Mahathir - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 1 / 1 
IPOH - Pembangkang tidak akan mengubah apa-apa kepada negara sekiranya menang PRU akan datang, kata Tun Mahathir.

Menurutnya, beliau beranggapan begitu berikutan pembangkang tidak memiliki apa-apa kebolehan untuk memerintah negara melainkan agenda politik masing-masing.

“Kalau kalah kepada pembangkang, tak jadi apa pun.  Jadi kita kalau dapat kena turunkan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan pulihkan Umno,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir juga menyifatkan negara berpendapatan tinggi bukanlah pengukur sebenar bagi sebuah negara maju dalam usaha mencapai Wawasan 2020.

Katanya, taraf negara maju hanya akan dicapai sekiranya semua aspek melibatkan bidang industri dan kebudayaan meningkat bersama-sama.

Menurutnya, tahap produktiviti juga perlu sama meningkat seiring dengan status negara sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Saya kata dulu, 2020 nanti kita capai taraf negara maju atas acuan kita, bukan negara lain. Tapi hari ini, yang ditekankan adalah negara pendapatan tinggi.

“Sebab itu, walau naik gaji, harga barang juga naik dan kuasa beli kita masih rendah. Produktiviti masih rendah, jadi pendapatan tinggi sahaja tak cukup untuk jadi sebuah negara maju,” katanya.

Bagaimanapun pada sesi soal jawab selepas itu, Dr Mahathir dilihat enggan menjawab soalan berhubung siapakah yang bakal mengambil alih jawatan perdana menteri setelah Najib tidak lagi menjawat jawatan itu.