• Pas
1 / 1
PAS buat kecoh lagi, kali ini lebih panas kerana mereka mengugut untuk boikot dan tidak mengundi PKR atau merosakkan undi sebagai tanda protes.

Isu boikot dan u-turn sebenarnya belum reda walaupun dua orang kuat Pas di negeri ini mengalah dan mengibarkan bendera putih setelah membuat kejutan beberapa hari lalu.

Semua orang masih ingat kelantangan Yang Dipertua Pas Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berhubung kemelut mereka dengan PKR.

Tetapi ketegasan mereka tidak bertahan lama dan akhirnya reda dan hubungan yang renggang bertaut kembali.

Tetapi kali ini agak berlainan kerana akar umbi terus bersuara dengan nada lebih keras.

Ugutan Pas Kawasan Bagan menimbulkan banyak persoalan kerana ia sebenarnya berada di luar garis dan sempadan parlimen Permatang Pauh.

Pas Kawasan Bagan terletak dalam kawasan parlimen Bagan dan tiga kerusi Dun iaitu Bagan Jermal, Sungai Puyu dan Bagan Dalam -  semuanya diwakili oleh calon DAP.

Tetapi kenapa Ketua Penerangan Pas Kawasan Bagan, Azmi Jaafar sanggup datang "menceroboh" kawasan lain semata-mata untuk memberi amaran dan meminta ahli Pas kawasan berjiran tidak mengundi PKR berikutan serangan PKR dan DAP ke atas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kehadiran mereka di hadapan Masjid Batu, Kampung Pertama selepas solat Jumaat juga menunjukkan berlaku pertembungan idea antara ahli Pas yang menyokong PKR dan kumpulan yang bertegas mahu memutuskan hubungan dengan parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Agak menarik kejadian yang berlaku di Masjid Batu - masjid yang dianggap kubu kuat Pas selama ini kerana berdasarkan senarai ahli jawatankuasa dan kuliah yang mirip kepada perjuangan parti itu.

Kelmarin - di dalam masjid khutbah Jumaat disampaikan oleh Ustaz Sobri Arshad (pernah bertanding sebagai calon Pas di parlimen Kepala Batas) yang dilihat begitu bersungguh-sungguh mempengaruhi semua ahli Pas agar mengundi Wan Azizah dalam PRK Permatang Pauh kali ini.

Beliau juga hadir pada majlis pengumuman calon PKR di SP Arena Seberang Jaya sehari sebelum proses penamaan calon sehingga ada yang beranggapan beliau adalah calon PKR kerana dilihat duduk berhampiran  Wan Azizah dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Tetapi sebaik sahaja selesai solat Jumaat, di luar masjid berlaku demo dan bantahan oleh Ahli Pas Kawasan Bagan yang dilihat begitu berani dan lantang. Ini mungkin kerana mereka mendapat sokongan dari rakan di Permatang Pauh.

Seorang veteran Umno tempatan yang enggan dikenali ketika berbual menyatakan bahawa ugutan Pas Bagan memang ada asasnya dan mampu melakar sejarah baru di Permatang Pauh seperti slogan yang diwar-war oleh BN.
Mungkin juga benar strategi yang digunakan oleh Pas selama ini walaupun kebenarannya masih samar-samar iaitu memindahkan pengundi ke kawasan lain untuk memenangkan calon mereka.

Disebabkan duduk berjiran antara parlimen Bagan dan Permatang Pauh dan mungkin juga Kepala Batas serta Tasek Gelugor, Pas Bagan boleh memindahkan ahlinya ke parlimen lain yang dilihat lebih berpotensi untuk meraih kemenangan.

"Pas boleh mengekalkan ahlinya di kawasan Bagan tetapi menjadi pengundi di Dun Seberang Jaya dan Dun Permatang Pasir.

"Undi mereka di Bagan mungkin tidak penting kerana sokongan pengundi Cina sudah cukup untuk memberi kemenangan kepada DAP," katanya.

Jadi untuk mengelakkan pembaziran undi, Pas Bagan berusaha memindahkan undi ke kawasan lain dan ini termasuk membantu meningkatkan undi calon PKR di Dun Seberang Jaya selama ini.

Begitu juga dengan Dun Permatang Pasir yang sudah dianggap kubu kuat Pas dalam parlimen Permatang Pauh.

Menurutnya, mungkin ramai yang tidak begitu menyedari strategi yang dilakukan Pas selama ini tetapi itulah hakikatnya untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya.

"Jika semua masih ingat sebelum PRU13, Wan Azizah pernah mengacah Pas untuk mengambil kerusi Dun Permatang Pasir dari Pas.

"Pesuruhjaya Pas ketika itu, Datuk Salleh Man yang juga Adun Permatang Pasir lantas membantah dengan menyatakan ia adalah kerusi Pas dan tiada parti lain yang boleh mengambilnya setelah ia mengukuhkan kedudukan di situ," katanya.

Jadi insiden yang berlaku "hadapan "kubu kuat" Pas kelmarin secara tidak langsung boleh mengesahkan strategi yang digunapakai parti itu selama ini.

Secara logiknya, tidak mungkin pemimpin Pas Kawasan Bagan mampu berbuat demikian jika tidak mempunyai pengaruh ke atas ahlinya sendiri atau pengundi yang dimaksudkan.

"Bolehkah Pas Bagan campur urusan Pas Permatang Pauh. Sudah tentu tidak kerana masing-masing mempunyai yang dipertua sendiri dan pendekatan berbeza.

"Tetapi mungkin disebabkan Pas Bagan membekalkan 10,000 pengundi kepada parlimen Permatang Pauh, ia mampu bersuara dan boleh mencaturkan pergerakan ahlinya untuk membuat apa sahaja seperti diarahkan dalam PRK kali ini," katanya.

Jika benar seperti yang dinyatakan oleh Azmi iaitu 10,000 pengundi Pas akan berkecuali dalam PRK Permatang Pauh, maka peluang Wan Azizah dan calon BN, Suhami Sabudin dalam persaingan kali ini adalah sama rata.

Jentera parti yang dapat membawa keluar penyokong dan pengundi lebih ramai, maka ia akan menjadi juara dan bergelar "YB Permatang Pauh" yang baharu.