• Myanmar ugut boikot AseanSeorang kanak-kanak Rohingya menjamah makanan di pusat perlindungan sementara di Kuala Langsa, Aceh.
 1 / 1 
YANGON - Pejabat Presiden Thein Sein berkata, Myanmar tidak akan menghadiri sidang kemuncak Asean di Thailand jika jemputan tersebut membangkitkan isu pelarian Rohingya.

Myanmar sebelum ini bertegas enggan dipersalahkan berkaitan krisis pelarian yang semakin meningkat dan timbul keraguan sama ada negara berkenaan menghadiri mesyuarat serantau yang diadakan di Bangkok, hujung bulan ini.

“Kami bukan mengabaikan masalah ini, tetapi pemimpin-pemimpin kami masih sedang mempertimbangkan sama ada untuk menghadiri mesyuarat itu berdasarkan topik yang akan dibincangkan.

"Apa pun, kami enggan bertanggungjawab dan menolak sama sekali dakwaan beberapa pihak bahawa kamilah punca kepada masalah ini," kata Pengarah Pejabat Presiden, Mejar Zaw Htay.

Sepanjang minggu lalu, ribuan pelarian etnik Rohingya melarikan diri menggunakan bot dan tiba di perairan Thailand, Malaysia dan Indonesia dalam keadaan lapar dan tidak bermaya.

Umat Islam Rohingya meninggalkan Myanmar kerana melarikan diri dari penganiayaan berterusan di negara tersebut.

Dalam pda itu, Zaw Htay dalam kenyataannya dilihat cuba untuk menyalahkan negara jiran dalam krisis yang semakin parah itu.

“Dari sudut pandangan kemanusiaan, Rohingya sekarang dilihat sedang dihalang masuk dari jalan laut oleh beberapa negara.

“Malah, pelanggaran hak asasi manusia yang paling serius adalah sindiket dan kegiatan penyeludupan manusia,” katanya kepada Al Jazeera.

Thailand dijadualkan akan mengadakan mesyuarat serantau pada 29 Mei ini dengan pegawai-pegawai tertinggi dari 15 negara untuk membincangkan punca penghijrahan tidak teratur di Lautan India.