• Najib Tun RazakNajib Tun Razak
 1 / 1 
SEREMBAN - Setiausaha Umno Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi berharap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat muhasabah diri dan berhenti memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau secara peribadi berpendapat, tindakan Dr Mahathir adalah tidak betul dan boleh membawa Umno yang wujud serta dipertahankan sejak sekian lama, menuju ke arah kehancuran.

“Saya minta beliau (Dr Mahathir) redakan keadaan bagi beri ruang kepada Perdana Menteri menyelesaikan setiap masalah dihadapi.

“Kalau diingat balik, Dr Mahathir pun pernah berdepan pelbagai krisis semasa mentadbir negara. Bagaimanapun, beliau berjaya menanganinya disebabkan sokongan Umno tidak berbelah bahagi dan tetap bersatu dalam apa jua situasi,” katanya.

Beliau berkata, tidak salah untuk beri komen berikutan Umno hak milik semua, tetapi biarlah yang membina dan sesuai pada tempatnya.

“Berhentilah membuat spekulasi dan provokasi yang tidak menentu, hingga mengelirukan pemikiran rakyat. Tumpuan
sepatutnya diberikan terhadap persediaan untuk menghadapi PRU14.

“Lagipun, semua ketua bahagian sudah berikrar akan beri sokongan penuh kepada Perdana Menteri. Justeru, kemampuannya tidak patut dipertikaikan,” katanya.