1 / 1 
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun terdapat dakwaan bahawa BN akan tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun beliau optimis BN akan kekal memerintah.

Katanya, jika beliau mendapat sokongan padu, agak mustahil untuk BN dikalahkan dalam PRU akan datang.

“Jika saya mendapat sokongan untuk meneruskan program transformasi, kita akan berjaya. Jika kita bersatu, dan setiap perbalahan dalaman kita dapat diselesaikan kita akan berjaya. Jika kita memberi tumpuan kepada politik yang membina dan bukan yang merosakkan kita akan berjaya.

“Jika kita memberi tumpuan kepada kerja dan bukannya mempercayai khabar angin, cerita ‘spin’  dan separuh benar, kita akan berjaya,” katanya menerusi NajibRazak.com, hari ini.

Beliau turut menegaskan pembangkang telah berkali-kali memberitahu bahawa mereka akan memerintah negara namun sehingga kini BN masih kekal memerintah.

“Sudah beberapa kali pembangkang diuar-uarkan akan memerintah negara, tetapi selama lebih lima dekad yang lalu, kita masih di sini,” katanya.

Najib berkata, beliau telah membuktikan keupayaan beliau dalam mentadbir negara termasuk berjaya memastikan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara meningkat kira-kira 5-6 peratus untuk mencapai ekonomi maju menjelang 2020.

“Namun ada kalanya kami menghadapi saat sukar disebabkan oleh kejatuhan harga minyak dunia dan kejatuhan nilai ringgit, yang mana perkara ini berada di luar kawalan kami.

“Tetapi  kita dapat bertahan kerana asas yang kukuh, rizab terkumpul yang tinggi serta mendapat pelbagai pengiktirafan dunia ,” katanya.

Tambah Najib lagi, pelbagai projek mesra rakyat juga telah disediakan dan berjaya dilaksanakan pihak kerajaan BN.

“Kunci kepada beberapa rumah mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) telah diberikan dan akan  bertambah pada masa akan datang.

“Jambatan Pulau Pinang kedua telah siap, Fasa satu projek Transit Aliran Massa (MRT) hampir 60 selesai, di mana dianggarkan peluang kerja dibuka kepada 1.5 juta orang dalam tempoh lima tahun.

“Kadar pengangguran kita paling rendah, dan projek  ekonomi koridor seperti Iskandar Malaysia telah menampakkan pelbagai hasil, “ katanya.