• Pas enggan ulas isu Tabung MemaliMahfuz (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian penerima anugerah tokoh pendidik, hari ini.
 1 / 1 
ALOR SETAR - Pas enggan mengulas desakan Organisasi Penggerak Sosial dan Minda Nambikkai (Nambikkai) berhubung status hasil kutipan Tabung Memali.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu tidak perlu dibangkitkan lagi kerana sudah menjadi kes polis.

“Ini kes lama dan disiasat polis. Malah ia juga sudah ditutup. Kalau dia nak tahu juga kena tanya sendiri dengan polis,” katanya kepada Sinar Harian selepas selepas menghadiri Himpunan Pendidik Islam 3.0 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.

Sebelum ini, Nambikkai memberi tempoh dua minggu kepada Pas untuk perjelaskan ke mana hasil kutipan Tabung Memali disalurkan.

Aktivisnya, Kalai Navar mendakwa kutipan dibuat Pas sejak tabung itu ditubuhkan pada 1986 melebih RM1 juta tetapi tidak diagihkan kepada keluarga mangsa.

Difahamkan, Tabung Memali ditubuhkan untuk membiayai kos guaman dan menyara hidup 14 balu dalam insiden di Memali pada 19 November 1985.

Dalam kejadian itu, polis melancarkan operasi untuk menahan Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA).

Ibrahim bersama empat anggota polis dan 14 penduduk kampung terbunuh dalam insiden itu.