SUBANG JAYA - Pas Kelana Jaya membuat satu laporan polis
 terhadap bekas anggotanya berikutan kehilangan sejumlah wang
 daripada tabung simpanan parti itu.


Yang Dipertua Pas Kelana Jaya, Mohd Ghazali Daud berkata,
 mereka menyedari kehilangan wang berjumlah RM80,000 
tersebut pada bulan Ogos lalu selepas penstrukturan semula
 Pas kawasan.

Menurutnya kehilangan berlaku apabila terdapat pengeluaran wang
 tanpa kebenaran dilakukan.

"Duit itu adalah wang tabung simpanan parti dan ia tidak boleh 
bertindak secara sesuka hati," katanya kepada Sinar Harian 
selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, hari ini.

Mohd Ghazali yang enggan mendedahkan identiti individu 
terbabit turut memaklumkan bahawa pimpinan Pas juga sebelum
 ini telah memanjangkan tuntutan sebanyak empat kali secara 

peribadi.

"Tetapi tiada sebarang respon dan maklum balas diterima daripada
 individu terbabit berhubung isu kehilangan wang tersebut.

"Saya tidak pasti sama ada wujud unsur pecah amanah atau 
tidak namun kita serahkan kepada polis untuk menjalankan
 siasatan lanjut berhubung perkara ini," katanya.


Ghazali berkata, Pas Kelana Jaya hanya mahukan agar wang 
berkenaan dapat dikembalikan semula bagi memudahkan 
segala perancangan parti selepas ini
.