SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) berpendapat
 bahawa Pas sebaiknya lebih banyak menumpukan usaha 
dalam menyelesaikan isu yang berlaku dalam negeri Kelantan
 dan parti itu sendiri.


Ini kerana menurut Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefli 
Ahmad, penyelesaian isu rakyat dan masalah parti itu lebih
 penting berbanding isu ahli Amanah berpaling tadah 
menyokong perjuangan parti itu.

“Sebenarnya saya malas melayan pimpinan yang mengeluarkan
 kenyataan seperti ini. Negara berdepan kebrantakan paling 
dahsyat dalam sejarah politik negara dan yang disibukkan hanya
 perkara keluar dan masuk ahli sahaja.

“Isu kelantan pun cukup banyak untuk diberi tumpuan, 
penerangan atau pencerahan,” katanya kepada Sinar Online, 
hari ini.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan 
mendakwa beliau mempunyai bukti ada ahli Amanah yang
 mengubah haluan menyokong perjuangan Pas.

Mengulas kenyataannya berhubung perkara itu baru-baru ini,
 Takiyuddin meminta kepimpinan Amanah untuk menyiasat 
sendiri perkara itu kerana beliau tidak akan mendedahkan 
nama-nama individu yang terlibat.

Dalam pada itu, menurut Dzulkefly lagi, Amanah tidak 
pernah menyekat mana-mana ahlinya untuk kembali kepada
 Pas.

“Maka sekarang ini, yang kembali kepada Pas (boleh 
dikatakan) sudah 'tidak sesat dan tidak terkeluar Islam' lah
 ya. Yang masih ramai ahli Pas menyeberang ke Amanah 
masih 'sesat' lagi ke?


“Berilah ahli peluang membuat keputusan..kemana pun mereka
 nak pergi kerana mereka 'mukallaf' yakni akan dipertanggungjawab
 sendiri oleh ALLAH. Kami tak sekat sesiapa pun yang mahu 
kembali kepada Pas kerana mereka masuk Amanah dulu pun
 kami tidak paksa atau berikan apa-apa habuan,” katanya lagi
.