BACHOK - Pas mengesahkan kenyataan dibuat Setiausaha Agungnya,

 Datuk Takiyuddin Hassan yang mendakwa terdapat ahli Parti Amanah 
Negara (Amanah) mahu kembali kepada Pas.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyambut 
baik perkembangan itu berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya
 mengumumkan secara rasmi mengenai bilangan individu terlibat.

Beliau bagaimanapun memberi bayangan, mereka yang bakal kembali
 menyertai Pas itu adalah daripada ahli Amanah Kelantan.

“Memang ada ahli Amanah yang datang balik kepada kita. Selama ini
 pun ada sebahagian kawan-kawan kita yang sertai Amanah kerana 
keliru dengan isu yang berlaku dan tidak dapat penjelasan yang patut.

“Bila dah tenang mereka mungkin dah dapat maklumat tepat dan lihat
 kebenarannya.

“Ini suatu perkembangan yang baik. Ia akan perkukuhkan kerajaan 
Kelantan dan parti sendiri," katanya selepas merasmikan Persidangan
 Pendidikan Kelantan 2016 di Bachok, semalam.

Mohd Amar berkata, gerak kerja sebagai pembangkang perlu bersatu
 walaupun secara tidak langsung dan tidak sepatutnya pembangkang
 menyerang antara satu sama lain.

Mengulas kontroversi bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa
 yang bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib Pas kerana lantang
 mengkritik parti itu, Mohd Amar berkata, beliau enggan campur tangan
 dan menyerahkan isu itu kepada jawatankuasa disiplin.

“Berdasarkan kes itu, jawatankuasa disiplin akan buat keputusan sama
 ada akan dikenakan tindakan atau tidak. Ikut perlembagaan
 jawatankuasa disiplin ada hak untuk buat keputusan dan hukuman 
yang sesuai, kami tak akan campur,” katanya.

Husam yang sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan kepada 
Jawatankuasa Harian Pas dilihat agak kritikal kepada kepimpinan Pas
 sejak tidak dapat mengekalkan jawatan naib presiden.

Selain mengkritik Kerajaan Kelantan, Husam juga dilihat hadir dalam 
majlis anjuran Amanah.

Sementara itu, Husam dalam reaksi segeranya menyatakan kesediaan
 berhadapan dengan jawatankuasa tatatertib parti, namun mahu kertas
 pertuduhan sebenar bagi membolehkannya membuat pembelaan
.