SHAH ALAM - Seorang  ahli perniagaan yang merupakan pemilik sebuah syarikat di utara tanah air ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan tuntutan peruntukan penganjuran 11 program Institut Pengajian Tinggi  (IPT) membabitkan nilai hampir RM 190,000.

Menurut sumber SPRM, siasatan dibuat berikutan  aduan yang diterima berhubung penyalahgunaan dana Pusat Kecemerlangan IPT di utara Malaysia oleh kontraktor terbabit sekitar tahun 2013 hingga 2014.

"Lelaki berusia 30-an ditahan di rumahnya sekitar jam 11 pagi tadi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan. Dia  dipercayai mempunyai pertalian persaudaraan dengan  seorang lagi individu yang telah ditahan SPRM Kedah dua minggu lalu.

Sementara itu Pengarah SPRM Negeri Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan penangkapan  dan siasatan 
sedang dijalankan terhadap kontraktor terbabit.

"Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM
 2009, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20
 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan 
atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi," katanya.

Menurut Fauzi, beberapa tangkapan lagi membabitkan kes yang sama  akan dibuat dalam tempoh terdekat untuk membantu siasatan.