SHAH ALAM – Pas akan mengumumkan 11 kawasan 

Dun dan calon bukan Islam yang akan bertanding dalam
 Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 12 Mac ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
 berkata, perkara itu telah dipersetujui Majlis Syura 
Ulama sambil mengakui ia merupakan percubaan 
pertama Pas untuk mengetengahkan calon bukan 
Islam dalam pilihan raya kali ini.

“Kita akan bertanding di tempat kita yakin ada potensi
 untuk menang dan kita tidak sekadar untuk turun 
bertanding.

“Kita akan turunkan wakil dari Dewan Himpunan
 Penyokong Pas (DHPP) untuk bertanding dan kita 
telah kenal pasti beberapa nama yang akan kita 
umumkan kemudian,” katanya pada sidang media
 di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee 
dan Setiausaha Pas Sarawak Mukhtar Suhaili.

Terdahulu, Tuan Ibrahim bersama beberapa pimpinan 
Pas pusat dan negeri menghadiri mesyuarat 
Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Pejabat Agung Pas.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa 
Ali mengumumkan parti Islam itu akan meletakkan 
calon di 11 kerusi pada PRN Sarawak dan bersedia
 menentang mana-mana calon termasuk daripada DAP.

Beliau berkata sembilan daripada kerusi itu merupakan 
kawasan lama Dun Sarawak, manakala baki dua lagi 
kerusi merupakan kawasan baharu Persempadanan 
Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri 
bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi
 Dun di negeri itu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga berkata semua calon
Pas yang ingin bertanding dalam PRN Sarawak kali ini 
perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Syura Ulama.

“Insya-ALLAH, Majlis Syura Ulama akan bersidang pada Mac 
nanti untuk menerima (senarai calon). Setakat ini kita (Majlis 
Syura Ulama) tidak menerima senarai calon lagi.

“Kita juga menerima maklum balas daripada Jawatankuasa 
Pilihan Raya Pas Sarawak supaya mengangkat senarai nama 
kepada Majlis Syura Ulama untuk kelulusan parti,” ujarnya.

Ditanya mengenai pertindihan kerusi yang ditandingi Pas dengan 
parti pembangkang lain, beliau berkata Pas hanya berbincang 
dengan PKR sahaja untuk mengatasi masalah tersebut.

“Kita dengan PKR masih ada hubungan, sebagaimana mandat 
dalam Muktamar Pas dan kita akan adakan perbincangan dengan PKR.

“Setakat ini hanya ada satu atau dua kerusi yang agak 
bertindan dengan PKR dan kita akan adakan perbincangan itu.

 Hingga saat ini tiada tarikh rasmi (perbincangan kerusi dengan PKR),”
 katanya lagi
.