TAIPEI - TAIWAN. Jumlah mangsa yang terlibat dalam kejadian gempa bumi di Taiwan mencatatkan peningkatan apabila sekurang-kurangnya lima terbunuh dalam insiden terbabit, lapor BBC.

Pasukan penyelamat dilaporkan masih cuba untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam struktur bangunan kediaman 17 tingkat yang runtuh tersebut.

Difahamkan, seramai 155 orang penduduk mengalami kecederaan manakala seorang bayi merupakan antara mangsa yang terkorban dalam kejadian runtuhan bangunan berkenaan.

Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou yang turun ke lokasi kejadian turut memberi jaminan dimana usaha-usaha bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap akan dilakukan dengan sehabis baik.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa penginapan sementara akan turut disediakan kepada mangsa-mangsa yang kehilangan tempat berteduh selepas rumah kediaman mereka musnah ekoran kejadian yang berlaku di bandar berkenaan yang mempunyai seramai kira-kira dua juta penduduk tersebut.

Seorang penduduk yang menginap di sebuah asrama di Tainan, Irving Chu memaklumkan kepada BBC bahawa dia yang sedang nyenyak tidur sebelum kejadian terbabit telah dikejutkan dengan gegeran selama kira-kira 40 saat.

“Seluruh bilik bergegar.Kami hanya berpegang antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lelaki British, Barry Knapp memaklumkan bahawa walaupun dia berada kira-kira 240 kilometer di Utara Tainan, gegaran gempa bumi terbabit masih dirasai di kawasan tersebut.

“Saya hanya berada di dalam bilik tidur pada waktu itu dan gegaran berkenaan mula dirasai selama kira-kira 20-30 saat,” katanya.

Pada tahun 1999 lalu, kejadian gempa bumi di Taiwan telah meragut lebih daripada 2, 300 orang mangsa.