Jurucakap Plus Malaysia Berhad berkata jumlah kenderaan bertambah bagi arah utara iaitu dari Jelapang ke Terowong Menora, Kuala Kangsar ke Bukit Berapit dan Perai ke Seberang Jaya.

"Di Hentian sebelah Ladang Bikam arah Utara, Plus terpaksa menutup sementara hentian ini bagi mengurangkan jumlah kenderaan dan akan dibuka semula apabila keadaan hentian ini tidak terlalu sesak," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Bagi arah Selatan, trafik perlahan dari Nilai ke Seremban dan Pedas/Linggi ke Simpang Ampat.

"Selain itu, di KM160.7 dari Bukit Gambir ke Tangkak, berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori terbalik yang mengakibatkan lorong kiri dan kecemasan terhalang. Ia menyebabkan kesesakan sehingga enam kilometer," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Gombak ke Genting Sempah berdekatan Plaza Tol Gombak turut dilaporkan perlahan.

Keadaan trafik perlahan dan terkawal juga dilaporkan dari Lentang ke Bentong dan Plaza Tol Karak menghala ke Lancang.

Orang ramai boleh mengetahui maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama