AirAsia pula tawar potongan tambang 50 peratus
KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan AirAsia kini menawarkan tambang
pada potongan harga 50 peratus untuk penumpang Rayani Air yang terjejas
berikutan penggantungan operasi syarikat berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat tambang rendah itu berkata,
tawaran berkenaan melibatkan penerbangan bagi destinasi ke dan dari
Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Bharu, Kuching serta Kota Kinabalu untuk
tempoh perjalanan mulai hari ini hingga 27 April 2016.
Ia bagaimanapun khusus untuk semua penumpang Rayani Air yang memiliki tempahan penerbangan yang sudah disahkan.
[ARTIKEL BERKAITAN: MAS tawar pilihan kepada penumpang Rayani Air]
[ARTIKEL BERKAITAN: DCA gantung Rayani Air tiga bulan]
Penumpang terbabit boleh mengemukakan tempahan itu di Pusat Perjalanan
dan Perkhidmatan AirAsia di klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa
Langkawi, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kota Bharu), Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota
Kinabalu.
"Kami amat bersimpati dengan kesemua penumpang Rayani Air yang terjejas
ini. Kami berharap pemberian diskaun ini dapat membantu mereka membuat
urusan perjalanan baharu, terutamanya menerusi kekerapan penerbangan
kami di semua destinasi terlibat," kata Ketua Komersial AirAsia, Spencer
Lee.
AirAsia mengendalikan sejumlah 11 penerbangan sehari masing-masing dari
Kuala Lumpur ke Langkawi serta Kuala Lumpur ke Kuching; lapan
penerbangan sehari masing-masing dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu dan
Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu serta tiga penerbangan sehari dari Kota
Kinabalu ke Kuching. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment