Raja Bahrin tegur Presiden Pas
KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pakatan Harapan mempersoalkan tindakan
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya tidak mengheret istana
dalam isu penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana
menteri.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul
Bahrin Shah seolah-olah tidak bersetuju dengan pandangan tersebut
berkata, perkara itu tidak seharusnya dipersalahkan kepada mana-mana
pihak kerana raja mempunyai kebijaksanaan dalam membuat penilaian
berhubung kemelut melanda negara dan mana-mana pihak tidak berhak
melarang raja daripada membela hak rakyat.
Beliau berkata, jika dikaji kenyataan rasmi daripada dua Mesyuarat
Raja-Raja Melayu sebelum ini, pihak atasan itu sememangnya prihatin
terhadap isu melanda negara apabila mendakwa antara fokus Mesyuarat
Raja-Raja Melayu pada Oktober 2015 adalah meminta kerajaan menyelesaikan
isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala mesyuarat pada
Februari lepas pula menggesa kerajaan memperhalusi undang-undang Majlis
Keselamatan Negara yang menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Saya sekadar memberi pandangan keadaan yang kononnya pembangkang
begitu berpengaruh dan seolah-olah raja-raja Melayu tidak berkeupayaan
membuat penilaian sendiri dengan segala kebijaksanaan dan kematangan
institusi tersebut. Jangan kita begitu senang menidakkan keupayaan
sebuah institusi yang menjadi ‘payung rakyat’ terutamanya dalam era
langit terbuka hari ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Beliau berkata sebagai mengulas laporan Sinar Harian bertajuk ‘Jangan heret istana jatuhkan Najib’ pada Rabu lalu.
Dalam laporan itu, Pas membantah tindakan sekumpulan anti-Datuk Seri
Najib Tun Razak dan Pakatan Harapan yang mahu memberi tekanan kepada
Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk menjatuhkan perdana
menteri.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, sebarang
perubahan kepada pentadbiran negara perlu digerakkan oleh parti politik,
badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkepentingan sahaja.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin memberitahu bahawa faktor langit terbuka
dan dunia di hujung jari menyebabkan sebarang kemelut melanda negara
tidak dapat disembunyikan kepada raja-raja sambil memberitahu zaman
pembesar negeri dan negara yang hanya menyampaikan berita baik sementara
keperitan rakyat dihalang untuk sampai kepada raja makin berlalu.
Keadaan itu katanya, membolehkan derita dan masalah rakyat terus
disampaikan tanpa perantaraan kepada raja-raja, di samping anak-anak
raja yang mempunyai pendidikan lebih tinggi memainkan peranan penting
sebagai sebaran maklumat secara tepat dan terus kepada istana.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak tidak seharusnya
menyalahkan pihak tertentu khusus pembangkang terhadap kesedaran istana
dengan krisis yang melanda negara hari ini serta tidak memandang ringan
keprihatinan raja dalam memahami masalah rakyat.
“Saya ingin memohon semua pihak supaya tidak memperkecilkan keupayaan
serta kesungguhan pihak raja-raja Melayu mendalami masalah yang dihadapi
oleh rakyat dan negara hari ini. Keprihatinan raja-raja kita tentang
kemelut negara hari ini patut diakui dan jangan dinafikan,” katanya.
2 orang berkata:
NGOOOKKK BETOL LA HADI TU.....
Para Raja2 Melayu sudah pun meluahkan segala kegusaran melalui Mesyuarat Majlis Raja2.. cukuplah setakat itu.. kita pun tahu at the end Perdana menteri juga yg akan menasihatkan YDP Agong dlm segala keputusan penting negara.
Maka tak perlu lah kita nak heret raja2 utk mengikut kehendak kita.. sedangkan bila DAP masuk campur dlm hal ehwal islam (buktinya dalam kes memperkasakan syariah oleh PAS utk negeri kelantan dan terengganu BUKAN penang pun!), pun PH tak mampu nak menegur, inikan plk memandai2 nak menegur raja2 agar ikut cakap PH..
Sekian..
Post a Comment