Kanak-kanak dilarikan wanita Indonesia ditemui
SUBANG JAYA – Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang disyaki
dilarikan seorang wanita warga Indonesia dari rumahnya di SS19, di sini
Isnin lalu berjaya ditemui selepas 16 jam dilaporkan hilang.
Mangsa, Putri Nurkyra Izam Abdullah ditemui seorang kariah masjid Al
Rahman di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur kira-kira jam 9.30 malam
tadi.
Kedua-duanya dikatakan ke masjid itu berikutan tidak dapat menempah bilik hotel kerana tidak mempunyai sebarang dokumen.
Ketika ditemui, mangsa kelihatan ceria namun keletihan dan mendakwa kelaparan kerana hanya mengambil sarapan.
“Saya hanya makan pagi tadi (kelmarin) tapi saya ok,” katanya kemudian
diiringi ibu bapanya dan pegawai polis ke Hospital Serdang untuk
pemeriksaan kesihatan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin
Sadari berkata, mangsa ditemui seorang kariah masjid ketika
berlegar-legar di rumah ibadat itu bersama suspek.
Lelaki itu mendekati mereka dan mengecam wajah kanak-kanak yang sebelum itu dilaporkan hilang di media.
Katanya, polis di Jalan Pantai dihubungi dan suspek berjaya diberkas
manakala kanak-kanak itu dibawa pulang ke pangkuan keluarganya.
Mohammad Azlin berkata, tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh
badan mangsa, hasil siasatan awal mangsa didapati rela mengikut suspek.
“Suspek tidak melawan ketika ditahan, polis akan siasat kes ini sebagai
penculikan,”katanya wanita warga Indonesia itu ditahan untuk siasatan
lanjut.
Semalam, akhbar melaporkan niat baik sebuah keluarga menumpangkan
seorang wanita warga Indonesia bermalam di rumah mereka berakhir nasib
malang apabila seorang daripada anak keluarga itu hilang dipercayai
dilarikan suspek.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, kehilangan mangsa disedari
kakaknya apabila mendapati kanak-kanak berusia 11 tahun dan menghidap
dileksia itu tidak berada dalam bilik di rumahnya di SS19, di sini.
Bimbang sesuatu yang buruk, kakak mangsa memaklumkan kejadian kepada
bapanya sebelum kehilangan mangsa dilapor kepada pihak polis.
0 orang berkata:
Post a Comment