Kerajaan Pas-Umno akan beri banyak kebaikan
KUALA LUMPUR - Kerajaan campuran Umno dan Pas akan memberi banyak
kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta
mengukuhkan Islam, kata pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik.
Katanya beliau bukannya mencadangkan dua parti politik Islam utama
negara itu bergabung, tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua parti
politik berkenaan membentuk kerajaan campuran.
"Saya bukan hendak memberitahu kedua-dua parti (Umno dan Pas) perlu
menjadi sebuah parti, tetapi jika mereka boleh berbuat demikian,
Alhamdulillah...(jika tidak), mereka boleh mengekalkan parti dan
identiti masing-masing.
"Namun, jika mempunyai kerajaan campuran, ia akan menjadi gabungan
untuk orang Islam," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu
dalam rakaman program bual bicara TV Al Hijrah, 'Persepsi', di sini,
hari ini.
Dr Zakir Naik, yang kini menjelajah Malaysia bagi menyampai syarahan
agama, dituduh oleh pihak tertentu kononnya ceramah beliau boleh
menjejaskan ketenteraman awam dan menyentuh sensitiviti agama lain.
Sejak beberapa hari lepas, beliau telah bertemu Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno, Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno dan
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dr Zakir Naik, dari India, berkata beliau percaya kedua-dua pemimpin
parti itu bersedia bekerjasama membentuk kerajaan campuran, dan jika
perkara itu menjadi kenyataan ia adalah sesuatu yang terbaik untuk
Islam.
Bagaimanapun, katanya mungkin ada beberapa pihak di negara ini yang
tidak bersetuju dengan pendapatnya dan tidak mahu melihat Umno dan Pas
membentuk kerajaan campuran.
Dr Zakir Naik juga mencadangkan supaya lebih banyak program diadakan di
negara ini bagi menjelaskan mengenai Islam kepada orang bukan Islam
serta menghapuskan sebarang salah faham mereka tentang Islam.
Menurutnya pada pertemuan dengan Najib, beliau telah memaklumkan
mengenai Persidangan Dunia Islam Dalam Bahasa Inggeris yang diadakan di
Mumbai, India, baru-baru ini, dan perdana menteri bertanya sama ada
persidangan itu boleh diadakan di Malaysia. - Bernama
1 orang berkata:
Post a Comment