PONTIAN - “Tun M cakap di mana-mana sahaja dia boleh bertanding termasuk di kerusi Parlimen Pontian P164,” kata Pengerusi Bersatu Parlimen Pontian, Zulkifli Tasrep.

Beliau berkata, apa sahaja yang keluar dari mulut Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya tidak diperlekeh kerana bekas perdana menteri itu mempunyai fikiran  cukup tajam dalam dunia politik.

Justeru itu, beliau berkata, kepimpinan Harapan di peringkat Pontian amat mengalu-alukan kehadiran Tun M untuk bertanding di sini.

“Walaupun hanya andaian di media sosial, kami begitu gembira sebab Parlimen Pontian diletakkan sebagai antara kerusi parlimen yang berkemungkinan jadi pilihan Tun M.

“Kerusi Parlimen Pontian bukan calang-calang sebab diletakkan sebaris dengan kerusi parlimen diwakili perdana menteri dan timbalan perdana menteri,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada 20 Februari lalu, laporan sebuah portal berita menyebut kenyataan Tun M, beliau boleh bertanding di mana sekalipun yang beliau mahu dan yakin mampu menang di mana di tempat yang ditandinginya.

Justeru itu, tular di media sosial Tun M akan bertanding di Parlimen Pekan menentang Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Tidak terkecuali juga beberapa parlimen lain yang diwakili nama-nama besar menteri disebut termasuk tiga kerusi parlimen di Johor iaitu Sembrong (P153), Sri Gading (P149) dan Pontian (P164).

Ditanya mengenai kelebihan Parlimen Pontian yang boleh menarik hati Tun M untuk menjadi calon, Zulkifli berkata, kelebihan tersebut disebabkan suara pengundi yang mahukan perubahan dan penerimaan baik terhadap Harapan serta Tun M itu sendiri.

“Orang Pontian semua kenal Tun M. Rakyat yang hidup zaman beliau tahu cara pentadbirannya yang disifatkan menyenangkan hati,” katanya.

Tegas Zulkifli, pihaknya amat menghargai kesudian Tun M untuk bertanding di sini, namun Bersatu tidak akan dibuai mimpi mengharapkan Tun M sahaja.

Katanya, Bersatu Parlimen Pontian turut menghantar tiga nama calon ke peringkat kepimpinan tertinggi parti untuk dipilih bagi bertanding di kerusi itu.

“Ketiga-tiga calon ini mempunyai kekuatan masing-masing dan merupakan anak kelahiran tempatan,” katanya.

Jelasnya, pembentukan jentera pilihan raya kini sedang dilaksanakan bagi P164 Pontian yang dijangkakan akan menjadi kawasan panas pada PRU14 kelak.

“Setakat ini, bilik gerakan Harapan sudah dibuka di Taman Sri Aman, Pontian.

“Harapan juga bercadang untuk membuka sebuah bilik gerakan di Benut, Pontian,” katanya.