Kegiatan ajaran Pak Habib yang terletak di atas tanah seluas kira-kira 1.2 hektar.
Kegiatan ajaran Pak Habib yang terletak di atas tanah seluas kira-kira 1.2 hektar.
 
RAWANG - Nabi Muhammad SAW dianggap tuhan, al-Quran hanya sebuah salinan buku lama, solat hanya perlu pada hari Khamis dan tidak perlu berpuasa di bulan Ramadan adalah antara amalan yang jelas terpesong dilakukan sekumpulan pengikut ajaran Pak Habib yang bergiat aktif sejak beberapa tahun di Bandar Country Homes (BCH) di sini.

Demikian maklumat yang didedahkan seorang individu yang hampir terikut dengan ajaran sesat itu.


Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidi, 42, berkata, pengikut Pak Habib menganggap Nabi Muhammad yang layak dijadikan tuhan kerana dalam Islam ada menyebut ‘barang siapa memuji ke atas Muhammad maka darjat mereka diangkat’.


“Terlalu banyak yang terpesong dan menyesatkan dalam amalan Pak Habib. Mereka menganggap Khamis menjadi penghulu bagi segala hari sebab itu pada setiap Khamis malam Jumaat pengikutnya dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan berhimpun melakukan pemujaan.


“Yang peliknya, pada hari tersebut mereka akan sama-sama bermain muzik yang disifatkan wajib,” katanya.


Menurut Zaidi, amalan Pak Habib juga menghalalkan arak kerana bagi mereka minuman itu menyihatkan badan.


“Minum sedikit (arak) jatuh haram, tapi jika minum banyak menyihatkan badan (halal),” katanya.


Zaidi berkata, pengikut ajaran itu juga menolak kandungan al-Quran kerana disifatkan hanya sebuah buku biasa yang mengandungi tulisan jawi serta disalin dan dicetak kemas.


Menurutnya, Ramadan bukanlah satu bulan rahmat bagi mereka kerana bagi pengikut Pak Habib puasa bukan satu kewajipan.


Katanya, kegiatan tersebut bergerak aktif sejak berkurun lama berdasarkan pengikutnya yang lahir daripada generasi awal Pak Habib sehingga ke hari ini.


“Malah, kesemua pengikut ajaran itu mempunyai salah silah atau susur galur keluarga atau bersaudara.


“Pengikutnya adalah golongan profesional seperti doktor, jurutera, pasukan keselamatan, pensyarah dan sebagainya, termasuk seorang di barisan pimpinan tertinggi sebuah parti politik” katanya.


Katanya, ajaran itu berpusat di BCH di atas tanah seluas kira-kira 1.2 hektar, di sebalik kawasan perindustrian dan terletak kira-kira 5 kilometer dari jalan utama.


Jelasnya, pusat tersebut dipercayai pernah dikunjungi pihak berkuasa dan terdapat notis penutupan diletakkan pada pintu utama pusat itu.


Bagaimanapun, setelah lebih dua tahun notis dikeluarkan kegiatan itu masih bergiat aktif.


Justeru, dia berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya.