Exco nafi MB Kedah sakit teruk, cuma rehat
26 Ogos 2012
Spekulasi bertambah kencang apabila semalam, kelibat Azizan tidak kelihatan pada majlis Rumah Terbuka Menteri Besar, di Seri Mentaloon, yang turut dihadiri Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Hanya isteri Menteri Besar, Datin Seri Faekah Sheikh Hamzah bersama ahli keluarga dan barisan Exco Kerajaan Negeri menyambut ketibaan tetamu yang hadir. Manakala Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah hadir mewakili Menteri Besar pada majlis itu.
Mengulas perkara itu, Amiruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Rumah Terbuka Menteri Besar, berkata, Azizan tidak mengalami masalah kesihatan serius seperti heboh diperkatakan, sebaliknya hanya dinasihat oleh doktor supaya berehat ekoran demam dan alahan.
“Tidak benar Azizan dikatakan demam atau sakit sejak dua minggu lalu. Keadaan beliau stabil dan tahap kesihatan memuaskan, cuma tidak pulih sepenuhnya. Selepas demam sekitar dua minggu lalu dan dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC), Azizan kembali sihat dan bertemu rakyat pada hari raya pertama,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun, Azizan mengalami alahan ubat selepas itu menyebabkan beliau tidak dapat hadir pada majlis ‘Jom Anak Muda, Raya Dengan MB’, Rabu lalu, di Seri Mentaloon.
“Azizan hadir pada Rumah Terbuka Pusat Khidmat Dun Sungai Limau, Khamis lalu bertemu penduduk setempat dan beliau bercadang bertemu media, semalam, namun masih tidak sihat sepenuhnya,” katanya.
Amiruddin berkata, buat masa ini, Azizan berehat di rumahnya dan dinasihatkan doktor supaya tidak menyertai aktiviti luar.
“Azizan dijangka berehat sehingga Selasa depan, dan jika sihat akan mempengerusikan mesyuarat Exco minggu depan. Rakyat tidak perlu bimbang kerana keadaan Azizan tidak serius,” katanya.
Menurutnya, sepanjang Azizan bercuti sakit, urusan pentadbiran negeri berjalan lancar .
0 orang berkata:
Post a Comment