Pakatan sambut baik Umno tubuh Kelab Penyokong di IPTA
28 Ogos 2012
Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, langkah Umno yang mahu menubuhkan Kelab Penyokong di IPTA ini harus disambut secara positif kerana ia boleh mendedahkan mahasiswa kepada politik.
“Usaha Umno ini harus dipuji kerana jika mereka menubuhkan Kelab Penyokong Umno, PR juga akan menumpukan usaha yang sama bagi menimbulkan persaingan yang sihat. Ini sekali gus memberikan kebebasan kepada mahasiswa dalam menceburkan diri dalam arena politik,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Kelmarin, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, ia langkah awal diambil Pemuda Umno selari dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 2012 baru-baru ini.
Pindaan itu membenarkan mahasiswa telibat dan memegang jawatan dalam mana-mana persatuan dan pertubuhan termasuk parti politik.
Saifuddin turut berkata, pindaan Auku memberi peluang kepada mahasiswa mendalami senario politik dalam negara.
“Langkah Umno memperkenalkan Kelab Penyokong di IPTA ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Kami sendiri sudah jangka dan ini tidak sesekali menjejaskan kewibaan kami sebagai parti pembangkang kerana kami mengambil jalan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan, pihak pentadbiran universiti juga harus bersikap adil dan terbuka tanpa mengamalkan ‘double standard’.
“Jika Umno diberi kebebasan untuk tubuhkan Kelab Penyokong, peluang juga harus dibuka kepada pembangkang,” jelasnya.
Pas turut melahirkan pandangan yang selari dengan PKR.
Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, usaha yang dilakukan BN ini harus dilihat secara positif kerana ia boleh mewujudkan persaingan yang sihat di antara BN dan parti pembangkang.
“Lagi cepat tubuhkan (Kelab Penyokong BN), lagi bagus,” katanya.
Menurut Salahuddin, usaha itu mampu melahirkan mahasiswa yang celik politik di negara ini tetapi pihak pentadbiran universiti harus bersikap adil dan saksama terhadap semua parti politik yang terlibat menubuhkan kelab penyokong masing-masing.
“Ini merupakan salah satu proses demokrasi. Jadi, mahasiswa dapat melahirkan pendapat dan pandangan politik mereka secara terbuka. Jadi usaha ini perlu kita sambut baik,” ulas beliau.
0 orang berkata:
Post a Comment