• Halimah Ali
1 / 1
SHAH ALAM - Rakyat perlu bijak memilih pemimpin yang mampu menguruskan kewangan dengan baik bagi memastikan pentadbiran negara mampu berjalan dengan sempurna.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, rakyat kini semakin tertekan dan terhimpit dengan peningkatan harga barangan keperluan yang semakin meningkat.

Bagaimanapun katanya, sebagai pengguna, rakyat juga harus bijak mengurangkan impak kos sara hidup yang melambung.

“Semua perkara yang menyakitkan ini saling berkait, jadi kita sendiri sebagai rakyat perlu belajar dari kesilapan lalu untuk memilih pemimpin yang mahu, tahu dan mampu menjaga masalah kita sebagai rakyat,” katanya dipetik daripada blog rasmi, drhalimahali.com.

Menurutnya, rakyat kini semakin marah dengan senario yang berlaku ketika ini malah ia berlaku setiap kali selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

“Dewasa ini, ramai orang rasa marah. Harga barang naik... tambang bas naik, bil eletrik nak naik. Gula naik. Baju sekolah naik. Belanja anak sekolah sudah pasti akan naik. Kos  nak pergi kerja pun akan naik. Ke sana ke mari...semuanya perlu belanja besar...memang ramai yang tertekan,” katanya.

Beliau turut mendakwa senario kenaikan harga dan pelbagai kemudahan yang berlaku bertujuan untuk menampung perbelanjaan besar yang dihabiskan kerajaan semasa PRU lalu.

“Sekiranya diperhatikan, pemimpin yang dipilih juga tidak mampu mengolah kenaikan harga barang kerana hakikatnya kini, hutang negara semakin meruncing,” katanya.