• Kelantan tidak halang sertai himpunan Ahmad ketika menyampaikan ceramah pada kuliah Jumaat di Medan Ilmu, semalam.
1 / 1
KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyelar tindakan pihak tertentu mengaitkan beliau dan kerajaan negeri dengan isu halangan ke perhimpunan, 31 Disember ini.

Sambil mengecam fitnah yang dilemparkan kepadanya, beliau berkata tindakan rakyat turun mengadakan himpunan itu sebagai langkah yang dipersetujui bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.


“Mereka mengatakan kerajaan Kelantan menghalang rakyat untuk berhimpun pada 31 Disember ini, bertujuan untuk menggesa kerajaan mengenai beberapa isu kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini. Buat apa saya hendak halang, semua orang setuju, kenapa perlu memfitnah seperti itu.


“Sekarang ini zaman paling mudah untuk memfitnah, setiap orang memiliki akhbar dan laman web masing-masing. Sebab itu kita kena berdisiplin, kena ingat, Islam
mengawal manusia supaya tidak rosak dengan berita fitnah di mana-mana sahaja di akhir zaman ini,” katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, semalam.

Dakwaan beliau itu merujuk kepada salah satu entri di laman sosial semalam, 'Pas Kelantan tidak akan menghantar wakil ke himpunan ‘Turun' dan tidak menyokong himpunan tersebut kerana himpunan tersebut berslogankan guling kerajaan Malaysia'.


Menurutnya, kenyataan tersebut hanyalah fitnah yang dilemparkan kepadanya, sedangkan beliau menyokong desakan rakyat tersebut.


Terdahulu, Ahmad melalui laman sosialnya mengeluarkan kenyataan bahawa kepimpinan Pas sentiasa bersama-sama terus mendesak kerajaan mendengar suara rintihan rakyat.
Beliau optimis dengangerakan itu mencapai matlamat bagi menunjukkan keluhan ditanggung akibat salah urus pentadbiran BN.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, jika ada yang mengatakan himpunan tersebut bertujuan menggulingkan kerajaan, ia hanyalah dakwaan palsu bagi menakutkan golongan yang terlibat.