• Hutan Simpan Bukit Putus terbakar  
  • Asap tebal dapat dilihat sejauh lebih tiga kilometer dari arah Seremban. - Foto Sinar Harian
1 / 1
KUALA PILAH – Musim kemarau melanda negeri ini menyebabkan 7.5 hektar Hutan Simpan Bukit Putus terbakar.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat dari Senawang, Sazali Hanafiah berkata, kejadian bermula kelmarin pada jam 12 tenghari dan berakhir jam 5.30 petang semalam.

“Memandangkan hutan di sini tiada sumber air, maka anggota bomba dan penyelamat mengalami kesukaran untuk padamkan api yang merebak sehingga ke kawasan Seremban.

“Kami meminta bantuan daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) membekalkan air bagi kerja-kerja pemadaman dan akhirnya kebakaran berjaya dipadam,” katanya.

Beliau menambah, seramai 53 anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian dengan melibatkan empat balai bomba dan penyelamat.

“Empat balai bomba yang terlibat ialah Seremban 2, Senawang, Kuala Pilah dan Teluk Kemang. Kerana cuaca panas dan kering, api merebak dengan pantas hingga memusnahkan hutan simpan seluas 7.5 hektar.

"Pada awalnya, pemadaman api selesai jam 4 pagi. Namun anggota bomba telah membuat pemantauan hari ini (semalam) dan mendapati asap masih ada.

“Oleh itu, kerja-kerja memadam dijalankan sehingga api berjaya di kawal jam 5.30 petang,” katanya.

Menurut beliau, punca kejadian masih dalam siasatan, sama ada ia kecuaian manusia ataupun faktor cuaca.