• Ahmad Zahid Hamidi
1 / 1
KLUANG - Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sepatutnya berbincang dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di negeri itu, dan bukannya mencabar Khalid, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  
"Tidak perlu mencabar (Ketua Polis Negara), sepatutnya beliau (Guan Eng) harus menemui Ketua Polis Negara untuk adakan perbincangan. Kita alukan jika ada inisiatif yang mahu jaga keselamatan komuniti tetapi bukan dengan cara mencabar.
  
"Jika ada pihak yang mahu membantu polis dan bekerjasama, nyatakan dengan perkataan yang baik bukan dengan cara seolah-olah mencabar kewibawaan pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kluang di sini, hari ini.
  
Ahmad Zahid berkata Pendaftar Pertubuhan dan Ketua Polis Negara menyatakan bahawa  PPS bukan pertubuhan yang sah kerana ia tidak pernah didaftarkan.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Naib Presiden Umno berkata soal keselamatan negara terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak mempunyai hak untuk menubuhkan agensi menjaga keselamatan.
 
"Soal keselamatan termaktub dalam undang-undang Persekutuan, tiada undang-undang atau enakmen negeri yang izinkan mana-mana pertubuhan untuk menjaga keselamatan. Oleh yang demikian, soal keselamatan adalah soal Persekutuan atau kerajaan Pusat, bukan hak negeri," kata beliau.
  
Menurutnya PPS tidak boleh disamakan dengan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKK) yang penubuhannya dilaksanakan menerusi penggubalan undang-undang Persekutuan.
  
Ditanya sama ada anggota PPS yang terus berdegil untuk menjalankan tugas bakal berhadapan dengan tindakan ditangkap oleh Polis,  beliau berkata itu boleh dilakukan mengikut undang-undang.
  
Menurutnya tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil alih tugas polis adalah jelas mengikut undang-undang.
  
Sementara itu di GEORGETOWN, Lim berkata kerajaan negeri Pulau Pinang akan menyediakan peguam dan pembiayaan perundangan kepada anggota PPS sekiranya mereka diheret ke mahkamah dalam menjalankan tugas.
   

Beliau berkata ini berikutan kenyataan Khalid bahawa pihak polis akan menahan mereka sekiranya meneruskan aktiviti mereka. - Bernama