• Isu MB Selangor
1 / 1
KUALA LUMPUR - Ketika rakyat Selangor tertanya-tanya siapa yang bakal menjadi Menteri Besar baharu, perhatian umum turut tertumpu kepada Pas sama ada mampu konsisten dengan keputusan mencalonkan tiga nama bagi jawatan nombor satu kerajaan negeri.

Sebelum ini, Pas, yang menyokong pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid, membuat 'pusingan-u' apabila bersetuju mengemukakan nama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar.

Pendirian Pas, yang pada awalnya beria-ia menolak pencalonan Dr Wan Azizah, berubah lagi apabila bersetuju dengan keputusan PKR dan DAP untuk hanya mencalonkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang sebagai calon tunggal. 

PKR DAN DAP TETAP CALON KAK WAN

PKR dan DAP sebelum ini sebulat suara mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, menggantikan Abdul Khalid yang dipecat daripada PKR pada 9 Ogos.

Kedua-dua parti itu sehingga kini masih konsisten dengan keputusan mereka untuk mencalonkan Dr Wan Azizah manakala Pas yang bermesyuarat semalam menyatakan akan menghantar tiga nama untuk diperkenan Sultan Selangor.

Pada Rabu, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dilapor sebagai berkata parti itu akan mencalonkan sekurang-kurangnya tiga Adun daripada PKR untuk menjawat kedudukan berkenaan.

"Keputusan untuk tidak meletakkan calon PAS adalah muktamad. Ini kerana Menteri Besar Selangor adalah jawatan milik PKR. Kita hormati perkara ini," kata Mustafa.

INGKAR TITAH SULTAN

Ramai pihak melihat 'kedegilan' PKR dan DAP yang berterusan mahu mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal sebagai suatu penderhakaan dan cubaan untuk mewujudkan 'tekanan' kepada pihak istana dalam soal pemilihan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sultan Sharafuddin pada Selasa menangguh untuk menerima peletakan jawatan Abdul Khalid, yang juga Adun Pelabuhan Klang, sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Pada Selasa, semasa Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat dan pandangan baginda berhubung kedudukannya, Sultan Sharafuddin menitahkan pemimpin gabungan parti - Pas, PKR dan DAP - supaya mencadangkan lebih daripada dua nama daripada setiap parti sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Ini bagi memudahkan baginda menentukan calon yang berkelayakan untuk dilantik ke jawatan Menteri Besar bagi menggantikan Abdul Khalid.   

Namun, titah baginda gagal dipatuhi oleh PKR dan DAP yang masih dengan keputusan asal mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk diperkenan sebagai Menteri Besar.

Pada Rabu, Sultan Selangor menitahkan Pas, PKR dan DAP mengemukakan cadangan nama calon Menteri Besar kepada baginda sebelum Rabu depan (3 September).   

Pada hari yang sama, Abdul Khalid menafikan dakwaan PKR sebelum ini kononnya hanya nama beliau sahaja dicalonkan sebagai Menteri Besar pada 2013 sebaliknya menegaskan terdapat nama lain turut dicalonkan untuk jawatan nombor satu itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda Pas Suhaizan Kaiat berkata hasrat PKR dan DAP untuk meneruskan keputusan awal mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal hanya akan memanjangkan lagi krisis politik di Selangor.

Semalam, Pas Selangor menyifatkan kenyataan Mustafa berhubung calon Menteri Besar Selangor yang baharu itu bukan satu keputusan muktamad.

Pesuruhjaya Pas Selangor Iskandar Abdul Samad sebaliknya berkata penentuan calon sebenar bagi jawatan tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat pemimpin Pas Pusat sebelum diserahkan kepada Istana Selangor.

PKR DAN DAP AKAN MENENTANG?

Jika Sultan tidak memberi perkenan kepada calon daripada PKR, apakah PKR dan DAP sanggup menerima keputusan baginda yang memilih calon Menteri Besar daripada Pas?

Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata kuasa mutlak pelantikan masih di tangan Sultan Selangor dan apa sahaja keputusan dibuat oleh baginda perlu dihormati demi masa depan Selangor dan rakyatnya.

"Jika keputusan Sultan adalah untuk melantik selain daripada cadangan PKR dan DAP, maka dilemanya adalah apakah PKR dan DAP akan terus menentang (keputusan baginda) serta (memikirkan) implikasinya ke atas Selangor.

"Dalam keadaan seperti itu, apakah Pas bersedia untuk ketepikan amalan (permuafakatan) Pakatan Rakyat dan membawa kepada kedudukan baharu pakatan (yang diterajui Pas)?," katanya kepada Bernama di sini.

Pelantikan seorang Menteri Besar di Selangor terletak di bawah kuasa Sultan sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959. 

Menurut Perkara 55 (2) (a) undang-undang itu, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar.

Pada masa sama, Perkara 51 (2), menyatakan seseorang Menteri Besar mestilah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

PAS DIPILIH SEBAGAI MB 

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, parti pakatan memenangi 44 daripada 56 kerusi Dun Selangor berbanding 36 pada 2008 dengan PKR memperoleh 14 kerusi, manakala Pas dan DAP masing-masing menang 15 kerusi. Barisan Nasional hanya menang 12 kerusi.

Kini apakah Pas menjadi pilihan terakhir Sultan untuk menamatkan kemelut politik di Selangor?

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berpendapat adalah tidak mustahil untuk Adun Pas dilantik menjadi Menteri Besar.

"Kuasa melantik Menteri Besar adalah kuasa Sultan dan parti yang menang hanya boleh mencadangkan nama dan isu pokoknya ialah mendapat perkenan baginda," katanya.  

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata sekiranya Pas dipilih untuk mengepalai Kerajaan Negeri Selangor, PKR dan DAP harus akur dan tidak mempertikaikan keputusan Sultan.

"Kalau tengok keputusan pilihan raya umum ke-13, Pas dan DAP sama-sama kuat iaitu masing-masing memiliki 15 kerusi Dun dan untuk itu, ada kewajaran untuk Pas (dipilih). Ini memandangkan PKR gagal menyelesaikan urusan dalaman parti mereka sehingga mengheret banyak pihak ke kancah kemelut politik," katanya.

Sementara itu, Sivamurugan turut melontarkan persoalan untuk difikirkan yang mana jika (Adun) daripada Pas dipilih, adakah (calon itu) yang mewakili parti pakatan tidak akan berhadapan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dijadual berlangsung pada November depan?

"Oleh itu, Pakatan Rakyat harus berkompromi (dalam menentukan calon Menteri Besar) untuk elakkan pembubaran Dun," kata Sivamurugan. - Bernama