• Satiful Bahri (tengah) ketika sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin. Satiful Bahri (tengah) ketika sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu menganggap pelantikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia dapat menjawab tuduhan pihak tertentu yang menggelar Pas sebagai parti ajaran sesat.

Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat berkata, pelantikan tersebut juga secara tidak langsung membersihkan imej Pas dan membuka mata rakyat negara ini bahawa Abdul Hadi bukanlah calang-calang pemimpin, malah ketokohan dan kepakaran beliau dalam bidang agama disegani di peringkat dunia.       
 
 “Jawatan (Abdul Hadi) ini paling berprestij dan secara tidak langsung memberi jawapan berhubung tuduhan kepada Pas.

"Dahulu di Terengganu sendiri ada kata Pas ini parti ajaran sesat, jadi tidak munasabah ulama sedunia pilih ulama sesat," katanya.

“Secara tidak langsung ia memberi jawapan, jadi (tuduhan Pas parti ajaran sesat) tidak perlu dijawab selepas ini, begitu juga dakwaan Pas tiada tokoh ulama,” katanya, kelmarin.

Abdul Hadi dilantik Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia selepas dipersetujui ulama dunia yang bersidang di Turki, baru-baru ini.

Pelantikan itu dibuat pengerusi kesatuan, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang mengekalkan jawatannya untuk kali keempat.

Dua lagi turut dilantik sebagai naib ketua bersama Abdul Hadi ialah Syeikh Raisuni dari Maghribi dan Syeikh Ahmed Al-Khalily iaitu Mufti Kesultanan Oman.


Presiden Sekretariat Ulama Rantau Asia, Abdul Ghani Samsudin dipilih salah seorang daripada 20 ahli jawatankuasa kesatuan.

Satiful Bahri mewakili Pas Terengganu mengucapkan tahniah kepada Abdul Hadi dan menyifatkan ia sebagai pengiktirafan besar kepada parti, negara dan Asia Tenggara.