• Mustafa Ali Mustafa Ali
1 / 1
KUALA LUMPUR - Keputusan siasatan berhubung dua Adun Pas, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin mewakili Morib dan Hulu Kelang yang didakwa mengkhianati parti dengan memberi sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan dibincangkan dalam Mesyuarat Pas Pusat pada masa akan datang.

Mengesahkan kenyataan tersebut, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tindakan ke atas dua Adun tersebut akan diserah dan dibincang oleh Pas Pusat terlebih dahulu dan hanya akan diserah kepada Lembaga Disiplin Pas jika diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

"Saya akan serahkan dan maklum kepada jawatankuasa Pas Pusat dan bergantung pada Pas Pusat untuk buat tindakan selanjutnya.

"Perkara ini akan dibincang dalam mesyuarat seterusnya. Saya rasa saya akan serah perkara ini kepada Jawatankuasa Pas Pusat, dari situ kita n putuskan sama ada akan serah hal ini kepada Lembaga Disiplin atau tidak," katanya.

Mustafa ketika ditemui pemberita hari ini menjelaskan, penyelesaian bagi kes kedua Adun itu baharu diputuskan sekarang setelah mengambil kira keadaan semasa parti tersebut.

"Pas menghadapi bermacam masalah. Sekarang baru ada masa untuk selesai isu ini. Saya ada sebut awal dahulu, tunggu keadaan reda dan (perkara lain) selesai baru ada masa untuk ini.

"Dulu banyak masalah, sekarang soal Menteri Besar Selangor, muktamar, dan PRK Pengkalan Kubor sudah selesai, baru kita boleh bincang," jelasnya.

Pada 14 Ogos lalu, seluruh pimpinan Pas digemparkan dengan penglibatan dua ahli Pas, Hasnul dan Saari Sungib yang menyatakan sokongan penuh terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Tindakan dua Adun tersebut sekaligus menjadikan ia sebagai majoriti undi menentang kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kedua-dua Adun tersebut dipanggil untuk bermesyuarat hari ini.

Dalam pada itu menurut Mustafa, pertemuan yang berlangsung lebih satu jam itu diadakan secara sulit tanpa melibatkan pimpinan tertinggi Pas yang lain

"Kedua mereka dipanggil secara berasingan dan seorang demi seorang untuk menjelaskan apa yang berlaku," ujarnya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butir perbincangan yang telah berlangsung.