• PRK Pengkalan Kubor
1 / 1
TUMPAT - Polis hari ini memberi jaminan keselamatan kepada 24,039 pemilih yang akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor, esok.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata pengundi tidak perlu takut untuk keluar mengundi kerana polis akan sentiasa berada di beberapa kawasan di sekitar Pengkalan Kubor.

"Anggota polis membuat rondaan sepanjang masa dan kita harap pengundi keluar mengundi tanpa ada rasa takut kerana kita akan pastikan keadaan sentiasa terkawal sepanjang proses itu," katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Gerakan Marin Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Mazlan berkata penyokong mana-mana parti yang bertanding juga dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang provokasi melampau, esok.

"Penyokong jangan mengangu orang ramai yang keluar mengundi dan kawalan trafik juga akan dipertingkatkan bagi mengawal kesesakan lalu lintas," katanya.

Katanya orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan kerana ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Mazlan berkata kawalan di kawasan sempadan juga akan dipertingkatkan bagi mengelakkan kemasukan warga asing secara haram.

"Kita tak mahu orang luar masuk ke kawasan ini dan membuat kekacauan ketika hari pengundian dan kita lipatgandakan rondaan terutama di Sungai Golok," katanya.

PRK Dun Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN) Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi. - Bernama