• Azmin memulakan jalankan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu dengan mempengerusikan mesyuarat dengan ketua jabatan, semalam. Azmin memulakan jalankan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu dengan mempengerusikan mesyuarat dengan ketua jabatan, semalam.
1 / 1
SHAH ALAM -  Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali wajar mengekalkan empat Exco daripada Pas berdasarkan pengalaman mereka mengurus tadbir negeri Selangor sebelum ini.
Penganalisis politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, empat Exco itu mampu membantu Mohamed Azmin untuk mengurus tadbir negeri dengan lebih baik dan lancar.

“Saya rasa empat Exco ini patut dikekalkan, namun ia terpulang kepada Mohamed Azmin sama ada mahu melantik mereka atau sebaliknya,” katanya, semalam.
Kelmarin, Iskandar Abdul Samad bersama tiga lagi  Exco iaitu Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi meletakkan jawatan mereka selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menamatkan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor semalam.

Menurutnya, sekiranya Mohamed Azmin tidak melantik calon Pas untuk membarisi pucuk pimpinannya kemungkinan akan wujud krisis dalam PR.
“Ini kerana Pas mungkin akan menganggap PKR berdendam dengan parti itu atas tindakan mereka memberi sokongan kepada Abdul Khalid.

“Kalau itu yang berlaku, ia akan membawa kemuncak krisis dalaman PR. Oleh itu, Mohamed Azmin harus bijak menangani persepsi ini dan berusaha meneruskan semangat kerjasama dalam barisan komponen mereka dengan membahagikan kerusi Exco sebagaimana terdahulu,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang mengandaikan akan ada Exco yang akan dilantik semula dan ada kemungkinan terdapat pemimpin baru yang akan dinaikkan oleh Mohamed Azmin.

“Apa yang pasti, Mohamed Azmin harus memilih individu yang boleh bekerjasama dengan beliau dan mampu duduk bersama dalam satu barisan Exco, yang mantap” katanya.

Mohd Azizuddin memberitahu, Mohamed Azmin perlu meneliti kebolehan setiap pemimpin dan sebaik-baiknya mencari individu yang mempunyai pengalaman menerajui negeri itu.
“Kita tunggu dan lihat siapa akan dilantik kerana barisan Exco baharu dijadualkan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor esok.

“Apa sahaja keputusan yang dicapai sebagai rakyat kita perlu akur,” katanya.