• Tuan Ibrahim Tuan Man
1 / 1
TUMPAT - Pas tidak menyalahkan rakan mereka dalam PR, terutama pemimpin tertinggi PKR dan DAP yang dilihat kurang memberikan bantuan dalam kempen PRK Pengkalan Kubor.

Pengarah Induk Pas PRK Dun Pengkalan Kubor, Datuk Tuan ibrahim Tuan Man berkata, Pas memahami kesukaran yang terpaksa dialami rakan mereka itu terutama berkaitan isu Menteri Besar Selangor.

"Kita tengok pada hari penamaan calon, mereka hadir dan mereka turut terlibat dalam kempen-kempen kita.

"Tetapi mereka terpaksa uruskan banyak perkara dalam masa dua hari ini terutama ketika pelantikan Menteri Besar Selangor," katanya dalam sidang media di Markas Besar Pas di sini, hari ini.

Beliau mengulas soalan media yang mempersoalkan ketiadaan kelibat pimpinan tertinggi PKR dan DAP sepanjang kempen berlangsung selain ketidakhadiran mereka dalam ceramah Perdana iaitu kempen terakhir Pas, malam semalam.

"Kita faham situasi yang berlaku kepada rakan kita dan keadaan di sini pun kita boleh kawal malah wakil PKR negeri Kelantan tetap bersama kita pada mesyuarat harian kempen. Jadi tidak timbul sebarang isu," katanya.

Jelasnya, ketiadaan jentera DAP pula sepanjang tempoh kempen disebabkan faktor peratusan pengundi Cina yang kecil di kawasan Pengkalan Kubor, namun itu tidak bermaksud DAP tidak menyokong Pas.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjangkakan peratus keluar mengundi dalam PRK Pengkalan Kubor akan menurun.

Katanya, faktor pengundian yang jatuh pada hari bekerja akan menyukarkan pengundi luar kawasan untuk pulang mengundi.

Sehubungan itu, beliau menasihati Suruhanjaya Pilihan Raya untuk lebih rasional dalam memilih hari pengundian dalam mana-mana pilihanraya akan datang.