•  Dr Dzulkefly Ahmad Dr Dzulkefly Ahmad
1 / 1
SHAH ALAM - Pas melahirkan sedikit kekecewaan terhadap komposisi Exco Selangor yang baharu apabila kuota bagi parti itu kurang satu kerusi berbanding sebelum ini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sudah menjangka perubahan komposisi itu sambil menyifatkan koalisi politik dalam PR itu sangat kompleks.

"Secara peribadi, saya sudah menjangka bahawa akan berlaku pelakaran atau penstrukturan semula Exco Selangor ini.

"Bagi Pas walaupun sedikit kecewa, tetapi saya meletakkan harapan yang besar terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad bersama Dr Yunus Hairi yang kini bersama Exco baharu iaitu YB Zaidy Abdul Talib," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Komposisi barisan Exco Selangor akhirnya terjawab pagi tadi apabila Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengumumkan senarai baharu dengan mengurangkan kuota Exco Pas.

Komposisi terbaru yang diumumkan Azmin menyaksikan jumlah kerusi PKR menjadi empat, diikuti DAP tiga dan Pas tiga.

Antara Adun PKR yang dilantik itu ialah Nik Nazmi Nik Ahmad, Amirudin Shari, Dr Daroyah Alwi dan Elizabeth Wong.

Manakala wakil DAP sebelum ini dikekalkan iaitu Ean Yong Hian Wah, V. Ganabatirau dan Datuk Teng Chang Kim.

Bagi kuota Pas yang dikurangkan itu menampilkan muka baharu iaitu Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib manakala dua lagi adalah lantikan semula iaitu Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sebagai 'balasan' mengurangkan kuota Exco Pas, Azmin mengumumkan jawatan Timbalan Speaker yang disandang oleh Nik Nazmi akan diserahkan kepada Pas.

Mengulas lanjut, Dzulkefly bagaimanapun menegaskan komposisi baharu itu yang memberi kelebihan kepada PKR perlu diterima dengan baik walaupun keputusan itu bertentangan dengan kehendak dan kepentingan parti masing-masing.

"Sebagai pemain dalam politik koalisi ini, kita mesti memahami dan menyelami tuntutan yang saling bertentangan kehendak serta kepentingan dalam parti komponen PR.

"Saya harap mereka dapat berperanan segera dalam satu pasukan pimpinan Selangor kerana bagi Pas, perubahan itu sangat penting untuk terus memacu dan memenuhi visi menjadikan Selangor sebagai negeri contoh dalam seluruh Persekutuan Malaysia," ujarnya.

Ketika ditanya tentang percaturan Azmin dilihat cuba memujuk Pas dengan menyerahkan jawatan Timbalan Speaker kepada Pas, Dzulkefly menafikannya sambil menyifatkan ia sebagai peluang kepada wakil rakyatnya untuk berperanan lebih berkesan.

"Jawatan Timbalan Speaker itu sebagai mukaddimah, mungkin satu hari nanti sebagai Speaker, itu semua dalam dinamiknya politik, saya kira adalah penting untuk kita mendapat pendedahan.

"Saya tidak nampak memujuk atau tidak memujuk, itu bukan bahasa orang politik, orang politik ini sangat cekal, gigih dan tegar, kalau tikam dari belakang pun tidak mati," katanya lagi.