Umno akan sentiasa sakit dengan Pas
UMNO akan sentiasa sakit dengan Pas jika mereka terus
buat salah dan zalim terhadap rakyat. Salah Umno bukan sikit. Banyak.
Mengapa Umno banyak buat salah? Jawabnya, kerana Umno yang memerintah
negara.
Rosak kehidupan dalam negara hari ini adalah kerana polisi dan arahan
daripada Umno. Cuba bagi peluang Umno tak memerintah. Sihatlah Umno.
Umno hanya akan sihat dengan Pas jika mereka laksanakan Islam.
Laksanakan Islam maknanya laksanakan keadilan yang menyeluruh. Keadilan
tanpa Islam sebagai asas, di sisi umat Islam adalah palsu. Ia bahagia
dalam murka ALLAH. Maka ia palsu sama sekali. Kepalsuan adalah musuh
Islam.
Itu hanyalah keadilan cara barat. Ikut cara barat tanpa rujukan kepada
Islam adalah ditolak. Biarlah barat laksanakan keadilan cara mereka.
Biarlah mereka bahagia cara mereka dan kita bahagia cara kita.
Cara Islam ialah keadilan mengikut acuan al-Quran dan al-Sunnah. Jaga
agama rakyat. Jaga nyawa rakyat. Jaga akal rakyat. Jangan maruah dan
keturunan rakyat. Jaga harta rakyat. Jaga hak dan kebebasan rakyat. Jaga
amanah rakyat.
Umno campur adukkan antara cara agama dan barat sepanjang pemerintahan
mereka. Maka mereka sakit dengan Pas dan Pas sakit dengan mereka.
Sentiasa berbalah dan bertengkar.
Hari ini Umno ajak Pas kerjasama atas dasar syariah. Jawapan Pas adalah
sama; Umno akan sakit dengan Pas jika buat salah dan zalim terhadap
rakyat. Umno akan sihat dengan Pas dan 'beroksigen' bila mereka
laksanakan Islam.
Jika itu maksud presiden Umno bahawa ia kerjasama 'atas dasar syariah',
maka Pas kekal membantu Umno; pertama, laksanakan Islam. Kedua,
mendorong Umno laksanakan Islam.
Ketiga, memaksa Umno menerima Islam secara menyeluruh. Keempat,
mencegah Umno buat salah dan zalim. Kelima, bersama Umno perangi
kerosakan dalam negara yang bukan daripada Umno.
Orang berkata, Umno akan ambil untung daripada kerjasama ini. Saya
jawab, jika Umno laksanakan Islam, tanpa Pas pun Umno boleh buat untung
besar. Saya jawab, sejak bila Pas rugi bila Islam semakin kukuh di
Malaysia?
Islam bukan pada kata-kata dan janji. Islam adalah pada keikhlasan,
kesungguhan dan keberanian. Umno dan Pas terikat dan tergadai pada
ketiga-tiga ini. Umno, samalah Pas juga, akan maut disambar hukum sunnah
ALLAH ke atas para munafikin yang memperolok-olokkan agamaNYA. Masa dan
hukuman di sisi ALLAH adalah dekat. Bila-bila masa yang dikehendakiNYA.
Jika anda kata Pas tak ikhlas, tak bersungguh dan tak berani, anda berhak menghukum Pas.
Cuma saya berhak bertanya, betulkah Pas tak ikhlas, tak bersungguh dan
tak berani? Bukankah pecah terserpih Pas kerana ikhlas, bersungguh dan
beraninya Pas pertahankan perjuangan Islam yang menjadi nyawa dan
nadinya?
Semua 'move' parti-parti politik adalah untuk memperoleh untung dan
laba masing-masing melalui sokongan dan undi rakyat. Pas cara Pas. Umno
cara Umno.
Ya, jika Umno untung, Pas rugi. Jika Pas untung, Umno rugi. Tapi, jika
Islam untung, Pas dan Umno tak rugi. Sepatutnya begitulah. Cuma saya tak
tahu jika Umno boleh rasa rugi jika Islam beroleh untung. Umno ni
DNAnya tak sama dengan Pas. Melayunya lebih pekat dari agamanya. Maka
kadang-kadang kiraan untung rugi antara Pas dan Umno tak sama.
Rakyat menghukum. Bukan kerja Pas mahukan rakyat undi Umno. Kerja Pas
ialah ganti Umno. Undi rakyat hendaklah kepada Pas. Selama-lamanya
itulah kemahuan dan kehendak Pas. Pas mahu ganti Umno di Putrajaya.
Hanya yang akan halang Pas ke Putrajaya ialah bila Umno jadi macam Pas. Berjuang untuk ketuanan Islam.
Mungkinkah? Rakyat dan umat Islam akan menghukum. Pas sentiasa yakin,
rakyat Malaysia adalah baik. Hanya yang merosakkannya adalah
anasir-anasir buruk yang dibiarkan, bahkan dijaga oleh Umno.
Pintu taubat terbuka seluas jarak antara timur dan barat. Itu keluasan rahmat ALLAH yang sombong makhluk bernama manusia.
'Sesungguhnya manusia itu maha zalim dan maha jahil.'
NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda Pas
Ketua Dewan Pemuda Pas
1 orang berkata:
Bro..bill hudud tu bila nak bentang..berapa kali nak kena kencing ni..
Post a Comment