Amanah janji tak guna iklan provokatif
SUNGAI BESAR - Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini berjanji tidak
akan lagi memasang papan iklan bersifat provokatif serta mengaku bahawa
kelemahan penyelarasan antara sekutu politiknya menyebabkan timbulnya
isu berkenaan.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, berkata, parti itu dan
sekutunya - DAP dan PKR - kini sepakat untuk memberi fokus terhadap
kempen secara positif.
"Saya mengadakan perjumpaan dengan Tony (Pua) pagi ini dan kami
bersetuju bahawa papan iklan seperti itu tidak akan dipasang lagi kerana
ia boleh dilihat sebagai suatu bentuk provokasi.
"Kami akui kami ada masalah dari segi penyelarasan," katanya pada sidang media di Sekinchan, dekat sini, hari ini.
Khalid berkata demikian bagi mengulas pengakuan DAP bahawa parti itu
mendalangi kempen kotor yang menggunakan papan iklan mengandungi unsur
perkauman dan provokatif di sebuah bulatan di bandar Sekinchan.
Iklan gergasi anti-Barisan Nasional (BN) dan anti-Pas itu mengandungi
gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta gambar Ketua Umno Bahagian Sungai
Besar, Jamal Md Yunus, yang menggunakan kapsyen berbentuk provokatif.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini akan
menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN, Budiman Mohd
Zohdi iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Adun Meru,
Dr Abdul Rani Osman daripada Pas dan Azhar Abdul Shukur, yang mewakili
Pakatan Harapan.
Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi
berkenaan, Tan Sri Noriah Kasnon, dalam nahas helikopter di Sebuyau,
Sarawak, 5 Mei lepas.- Bernama
1 orang berkata:
memang pan jahat...anak didik dap.
Post a Comment