Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

PKR: Penghijrahan rakyat Malaysia perlukan reformasi jangka masa panjang

| May 10, 2011 12:38:49 pm

 
Laporan Ekonomi Bank Dunia tentang penghijrahan keluar rakyat Malaysia (Brain Drain) telah menarik ulasan meluas di media.  Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan semua pihak sewajarnya prihatin tentang masalah serius ini.

Bank Dunia menganggarkan bilangan rakyat Malaysia yang berada di luar negara kira-kira satu juta orang - dan itu satu anggaran yang konservatif.  Biar apa pun angka tepatnya, tren ini merisaukan apabila kita mengambilkira bahawa kira-kira satu pertiga rakyat Malaysia yang meninggalkan negara merupakan pekerja mahir, yang merupakan tiga kali lebih besar berbanding pada tahun 1990.

Isu ini dekat dengan saya memandangkan ramai rakan-rakan saya di universiti di Britain dahulu turut terangkum dalam statistik rakyat Malaysia yang meninggalkan negara.  Pilihan mereka ini merupakan suatu bukti kepincangan dasar-dasar ekonomi, sosial dan politik negara selama ini.  Tiada siapa dapat menafikan bahawa kita tidak dapat meneruskan keadaan ini dan memerlukan reformasi terhadap dasar-dasar negara.

Malangnya, respon kerajaan UMNO-BN di bawah Najib Razak teramatlah mengecewakan.  Model Ekonomi Baru yang digubal mengutamakan keputusan jangkamasa pendek dan mudah yang diistilahkan "low-hanging fruit" dan "quick-win".  Istilah-istilah yang diperkenalkan konsultan ini menekankan langkah-langkah populis, jangkamasa pendek tanpa mengambilkira reformasi yang lebih sukar dan jangkamasa panjang yang diperlukan bagi menyelesaikan punca-punca asas masalah ini.

Misalnya, Najib nampaknya yakin dengan penubuhan Talent Corp Malaysia Berhad dan mencadangkan cukai pendapatan mendatar 15% selama lima tahun untuk rakyat Malaysia yang pulang akan menarik ramai rakyat Malaysia pulang ke negara.  Ini satu kesilapan yang besar.

Masalah penghijrahan rakyat Malaysia tidak akan selesai dengan penubuhan satu lagi syarikat kerajaan.  Pada masa yang sama kerajaan menghantar signal yang salah kepada rakyat Malaysia yang telah pulang ke negara secara sukarela dengan memberi faedah kepada individu-individu tertentu atau secara terang-terang cuba menarik rakyat pulang dengan pelbagai imbuhan.

Perubahan luaran begitu tidak akan menyelesaikan punca-punca mengapa rakyat Malaysia meninggalkan negara.  Ketidakadilan sosial merupakan antara sebab utama dalam kajian Bank Dunia tentang mengapa rakyat Malaysia memilih untuk meninggalkan negara: seramai kira-kira 60% daripada responden yang tersenarai meletakkannya antara tiga sebab utama mereka memutuskan untuk berhijrah.  Diskriminasi sama ada di dalam sektor awam mahupun swasta, serta jurang sosio-ekonomi yang melebar telah membuatkan negara kehilangan ramai bijak pandai.

Walau bagaimanapun, harus ditekankan bahawa penghijrahan rakyat Malaysia ini bukanlah fenomena masyarakat bukan Melayu semata-mata.  Kedua-dua rakan serumah saya di London memilih untuk kekal di Britain.  Salah seorangnya merupakan seorang Iban dari Sarawak manakalah seorang lagi merupakan Melayu daripada Kuala Lumpur.  Meskipun bilangan mereka lebih kecil berbanding masyarakat bukan-Melayu, semakin ramai orang Melayu turut berhijrah mencari kehidupan yang lebih baik, ataupun untuk membuktikan mereka boleh berjaya tanpa bantuan kerajaan.

Pada masa yang sama, kita harus menerima realiti bahawa lebih rakyat yang dapat bergerak dengan bebas dalam dunia global.  Penghijrahan rakyat semata-mata bukanlah sesuatu yang negatif - fenomena ini membolehkan rangkaian baru terbina di luar negara dan mereka yang kemudiannya pulang ke negara diperkayakan dengan pengalaman yang lebih luas dan pelbagai.  Tetapi bilangan penghijrahan tenaga mahir yang meningkat - di mana kita semakin kehilangan pekerja mahir sama ada rakyat Malaysia atau tidak dan menarik pekerja kurang mahir - merupakan satu masalah.

Justeru, kerajaan sewajarnya memikirkan dasar-dasar berikut:

Dasar jangkamasa pendek yang lebih berkesan ialah untuk membenarkan ibu bapa memilih sekolah yang mereka mahukan untuk anak-anak mereka.  Sistem pendidikan yang kaku dan tidak inklusif tidak menarik ramai rakyat Malaysia untuk pulang dan menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang mahir memilih untuk meninggalkan negara.

Pada jangkamasa panjang, reformasi menyeluruh sistem pendidikan kita diperlukan.  Kebanyakan rakyat Malaysia cuma mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan dan hanya dengan menjadikan sekolah kebangsaan kita lebih inklusif dan meningkatkan kualiti yang ditawarkan kita dapat menjadikan sekolah kebangsaan sekolah pilihan untuk semua rakyat Malaysia seperti dahulu.

Akhirnya kerajaan mestilah menekankan bagaimana untuk mengekalkan rakyat Malaysia yang berbakat sebagai cara paling efektif mengatasi penghijrahan rakyat Malaysia ini.  Mengharapkan rakyat Malaysia yang telah membina karier mereka di luar negara dan mempunyai keluarga untuk pulang semata-mata kerana mereka melihat sebuah iklan Talent Corp tentang kadar cukai yang rendah amatlah melucukan.
Begitu juga tidak cukup untuk kerajaan menekankan untuk menarik pekerja berkemahiran dari luar semata-mata.  Meskipun kita patut menyambut baik kehadiran mereka, mereka hanya akan datang dengan kadar yang tinggi dan kebanyakannya tidak berniat untuk menetap di Malaysia secara tetap.  Rakyat Malaysia sama ada yang sudahpun ada di dalam negara mahupun yang pulang mempunyai lebih banyak ikatan dengan negara tidak meminta layanan istimewa - mereka sepatutnya diutamakan.

Kerajaan juga mestilah melaksanakan cadangan dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat untuk memperkenalkan dasar yang mengiktiraf pencapaian dan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan. Pendekatan sedia ada yang hanya membolehkan golongan kaya sahaja membuat pilihan dan mendapat perkhidmatan bermutu sementara menekankan perbezaan kaum tidak lagi relevan untuk Malaysia pada abad ke-21.

Kerajaan juga harus membebaskan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan ekonomi daripada politik. Berikutan campurtangan politik, ramai bukan Melayu yang berbakat menghadapi kekangan dalam perkhidmatan awam, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan sektor-sektor yang berhubungkait dengan politik.  Pada masa yang sama, ramai usahawan Melayu tanpa hubungan politik turut menghadapi diskriminasi daripada sektor swasta dan juga kerajaan.

Malangnya pentadbiran Najib hanya tidak mampu membuat reformasi menyeluruh ini.  Pentadbiran Najib terbukti tidak mempunyai keazaman politik untuk melakukan reformasi sekiranya bertentangan dengan kepentingan UMNO.  Pada masa yang sama, media milik UMNO dan NGO-NGO berkaitan, di samping institusi kerajaan yang menjadi mangsa campurtangan UMNO terus-menerus mengapi-apikan sentimen kaum dan agama yang mengancam menghancurkan negara dan mencetuskan ketidakstabilan serantau.

Kekayaan, maruah dan masa depan negara sememangnya tidak selamat di tangan pihak-pihak tersebut.

*Kenyataan media oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar kanan) selaku Pengarah Komunikasi PKR.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.