Kes penyalahgunaan dadah di kalangan orang Melayu semakin membimbangkan. Sehinggakan seorang hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, baru-baru ini, melahirkan kesedihannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini membabitkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam.
Hakim Datuk Abd Rahim Uda menegaskan orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.
“Masalahnya kita orang Islam, tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya,” katanya ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang.
Apa yang diluahkan Hakim Abd Rahim seharusnya mendapat perhatian serius seluruh masyarakat Melayu. Malah, kita patut berasa bimbang kerana berdasarkan perangkaan, remaja dan belia Melayu adalah golongan paling ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Mengikut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), etnik Melayu adalah penagih paling ramai dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, iaitu 9,734 orang (80.59 peratus), berbanding Cina sebanyak 1,096 orang (9.07 peratus), India 926 orang (7.67 peratus), pribumi Sabah 238 orang (1.97 peratus), pribumi Sarawak 29 orang (0.24 peratus) dan etnik lain 56 (0.46 peratus). Keseluruhannya, penagih yang dikesan dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 361.91 peratus berbanding tempoh sama pada 2009.
Menurut statistik Bukit Aman pula, 222 rakyat Malaysia berketurunan Melayu kini ditahan di penjara luar negara kerana kesalahan dadah sama ada dijadikan keldai dadah atau secara sedar. Dari sini, timbul persoalan mengapa orang Melayu mudah terpengaruh dan terjebak dalam kes penyalahgunaan dadah? Dalam perbualan dengan Presiden Pengasih Malaysia, Datuk Yunus Fathi, beliau mengemukakan beberapa faktor, termasuk berkait dengan soal budaya, perilaku, latar belakang keluarga dan tempat tinggal, pendidikan serta pengaruh luar.
“Taraf pendidikan orang Melayu pula secara umumnya masih rendah dan yang terbabit dalam dadah kebanyakannya daripada keluarga miskin. Selain itu, sistem kekeluargaan yang dulunya kuat, kini semakin rapuh menyebabkan anak terbiar dan tidak diberi perhatian,” katanya yang pernah menjadi penagih sebelum mengasaskan Pengasih — badan yang dianggotai bekas penagih dadah.
Sememangnya mengikut statistik ADK, majoriti penagih yang dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu menunjukkan 8,492 orang (78.40 peratus) adalah mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai tahap pendidikan tamat Tingkatan Tiga, iaitu mempunyai sijil LCE/SRP/PMR. Bilangan penagih tertinggi juga dikesan pada mereka yang mempunyai sijil pada peringkat LCE/SRP/PMR, iaitu seramai 4,069 orang (37.56 peratus).
Persoalannya, kenapa kes penyalahgunaan dadah terus meningkat sedangkan banyak program dianjurkan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengekang gejala ini? Malah, pelbagai undang-undang digubal dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap kesalahan dadah, termasuk hukuman mati mandatori.
Penguatkuasaan juga diperhebatkan dan mengikut statistik, rampasan beberapa jenis dadah, seperti heroin, ecstasy, candu dan kokain menunjukkan peningkatan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu. Namun, di sebalik kejayaan ini, isu dadah terus menghantui kita.
Sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, penagih baru yang dikesan berjumlah 8,984 orang, meningkat 507.44 peratus berbanding 1,479 orang dalam tempoh sama tahun lalu, manakala penagih berulang seramai 3,095 orang, meningkat 172.45 peratus berbanding 1,136 tahun sebelumnya.
“Kita semua berisiko dan yang tidak mempunyai kekuatan diri lebih berisiko tinggi untuk mudah terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Sebab itu, kempen kena bermula dari rumah dengan menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak mengenai bahaya dadah.
Kita juga kena banyakkan aktiviti bagi meningkatkan jati diri serta pembangunan intelektual dan rohaniah anak. Malah, mengikut satu kajian, anak yang selalu bersukan bersama ibu bapa didapati jarang terbabit dalam dadah. Peranan pertubuhan komuniti seperti PIBG, JKK kampung, jawatankuasa kariah surau atau masjid juga penting bagi membantu memerangi gejala dadah,” katanya.
Mesej ini sepatutnya membuka mata seluruh masyarakat agar bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras kes penyalahgunaan dadah. Kita percaya rakyat sedar kes penyalahgunaan dadah ini serius, tetapi ramai yang cuma mengeluh, tetapi tidak membantu. Kita tidak boleh lagi melihat dan membiarkan saja apa yang berlaku di sekeliling kita. Mungkin ramai tidak ambil peduli kerana menganggap itu bukan masalah mereka atau tidak membabitkan anak atau ahli keluarga mereka.
Barangkali ramai juga tahu anak jiran kita mengambil dadah, tetapi kita buat tak tahu kerana tidak mahu dianggap mencampuri hal orang lain. Ini bukan soal hendak jaga tepi kain orang, tetapi membabitkan masa depan generasi kita. Bersamalah membanteras dadah. — B/Harian
0 orang berkata:
Post a Comment