Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

ADAKAH SALAH MEMBERIKAN PANDANGAN TENTANG PERLEMBAGAAN ?

Isu Aziz Bari: UIA digesa tarik balik surat tunjuk sebab

October 20, 2011
 
KUALA LUMPUR, 20 Okt – Universiti Islam Antarabangsa (UIA) digesa menarik balik surat tunjuk sebab dikeluarkan ke atas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari manakala pihak berkuasa diminta berhenti daripada menakut-nakutkan ahli akademik yang melontarkan pandangan berbeza daripada kerajaan.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua (gambar) berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis juga dengan segera perlu menarik balik tindakan mereka mahu menakut-nakutnya pensyarah itu hanya kerana memberikan pandangan mengenai undang-undang.

“Pada masa yang sama, UIA seharusnya menarik balik surat tunjuk sebab yang mengakibatkan persepsi bahawa pihak berkuasa universiti di Malaysia kurang kebebasan dan hanya bertindak sebagai alat kepada parti pemerintah untuk menekan pandangan-pandangan yang berbeza,” kata beliau.

Kata Pua, pihaknya tidak bersetuju dengan pandangan-pandangan dikemukakan oleh Aziz sepanjang masa, tetapi setiap orang khususnya mereka yang ada pengkhususan dalam bidang masing-masing sewajarnya diberi kebebasan untuk melahirkan pandangan dan pendapat masing-masing.

“Kami percaya bahawa setiap orang, apa lagi ahli-ahli akademik dalam bidang pengajian yang relevan, harus ada suara untuk memberi pandangan mengenai kesemua perkara yang berkaitan dengan Perlembagaan.  Apatah lagi, Malaysia merupakan negara yang bersandarkan undang-undang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran surat tunjuk sebab itu, Aziz dilarang memasuki UIA sehingga inkuiri ke atasnya selesai.
Aziz diberi tempoh sehingga 25 Oktober ini untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Beberapa pihak lain turut mengecam tindakan pihak berkuasa termasuk soal siasat polis dan SKMM ke atas Aziz sejak awal minggu ini.

“Tindakan oleh kerajaan dan pihak berkuasa universiti hanya membuktikan bahawa ruang kebebasan akademik di pusat pengajian tinggi negara ini  adalah terlalu kecil dan Akta Universiti dan Kolej Universiti digunakan sebagai alat untuk mewujudkan suasana yang rigid di kalangan ahli akademik dan pelajar,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, laporan ranking 400 universiti utama dunia yang dikeluarkan oleh Times Higher Education baru-baru ini, yang mana tiada universiti Malaysia disenaraikan, bukti tentang kedudukan universiti-universiti tempatan yang tidak menggembirakan buat masa sekarang.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkuasa menghentikan tekanan-tekanan yang tidak perlu ke atas ahli-ahli akademik daripada menyuarakan pendirian mereka.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Modh Akin juga mengecam keras tindakan pentadbiran UIA yang bertindak menggantung perkhidmatan Aziz.

“Penggantungan ini, susulan daripada surat tunjuk sebab yang dikeluarkan semalam ke atas Dr Aziz, ternyata sesuatu yang memelikkan dalam keadaan Dr Aziz belum lagi memberikan sebarang jawapan balas kepada surat tunjuk sebab berkenaan yang meletakkan tarikh 25 Oktober sebagai tarikh akhir untuk beliau menjawabnya,” kata beliau.

Beliau berkata, isu yang dipolemikkan secara berlebihan oleh Utusan Malaysia dan beberapa aktivis politik picisan melibatkan kenyataan terdahulu Aziz sehingga beliau disiasat oleh SKMM dan polis, nyata sekali bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan bertujuan untuk membangkitkan sentimen rakyat ke atas sesuatu isu yang sememangnya jelas justifikasinya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sistem perundangan Malaysia.

“AMK melihat, penggantungan ini, jelas mencalarkan imej UIA selaku ‘taman ilmu dan budi’, apabila dalam keadaan budaya ilmu melalui penghujahan fakta yang autoritatif dalam lingkungan kepakaran seseorang pensyarah ditekan dengan tindakan seumpama ini,” kata beliau.

Shamsul Iskandar berkata AMK tidak berniat untuk campur tangan dalam pentadbiran UIA, sebaliknya, yang dipertikaikan ialah kenapa wujud kekangan ke atas kebebasan akademik atau secara asasnya kebebasan berfikir di kalangan pensyarah yang bertanggungjawab mendidik mahasiswa.

“Sekiranya ini berlaku, maka bukan sesuatu yang memelikkan, melihat kepada kualiti mahasiswa yang ada di pasaran sangat mendukacitakan. Ini kerana kalangan pensyarah dimusnahkan kredibiliti mereka sehingga mengehadkan ruang mereka untuk berwacana dengan ilmu pengetahuan serta kepakaran yang ada pada mereka,” kata beliau lagi.

Kata Shamsul Iskandar, jika trend seumpama itu berterusan, AMK percaya “janganlah dirungsingkan kenapa prestasi IPTA Malaysia di mata dunia saban tahun sukar mendaki tangga kedudukan IPT terbaik dunia.”

“Jawapannya mudah – kredibiliti akademik dan budaya ilmu di Malaysia sedang ‘dibinasakan’ secara sistematik oleh Umno-BN yang berterusan menekan pengurusan IPT untuk bertindak ke atas pensyarah dan mahasiswa yang tidak sealiran dengan aspirasi mereka,” kata beliau lagi.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong juga menggesa UIA agar menarik balik penggantungan ke atas Aziz serta-merta dan mahu hak kebebasan akademik dipertahankan.

“Tindakan menggantung Dr Aziz ini merupakan bukti jelas mengapa tahap kecermelangan institusi pengajian tinggi di Malaysia tetap merudum,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, tindakan UAI menggantung Aziz amat mendukacitakan dan pusat pengajian itu sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bertaraf antarabangsa, sepatutnya mempertahankan hak ahli akademik menyuarakan pendapat dan idea.

“Malangnya, universiti tersebut bukan sahaja gagal mempertahankan Dr  Aziz apabila beliau diserang oleh ahli politik dan media Umno  tetapi sebaliknya menggantung beliau pada hari ini,” katanya lagi.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.