Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
KUALA LUMPUR – Cendekiawan Islam, Profesor Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah kecewa dengan pemimpin yang ada sekarang kerana tidak berjaya membentuk sahsiah suami dan isteri dengan ajaran Islam sebenarnya.

Tanpa merujuk kepada tokoh itu sama ada daripada kerajaan atau pembangkang, kata Ridhuan Tee, pemimpin ini tidak boleh dijadikan role model kepada generasi akan datang.


“Sekiranya ahli keluarga sendiri tidak menutup aurat misalnya, bagaimana dia hendak memim­pin negara dan menyuruh orang lain berbuat demikian. Begitu juga anak-anak mereka perlu terlebih dahulu dijaga kerana ini memberi imej kepada pemimpin berkenaan.



“Manakala bagi wanita bergelar isteri yang menerajui parti politik dan sesebuah pertubuhan, sekiranya mereka tidak boleh menegur suami sendiri, saya rasa ia juga memang pelik,” katanya semasa membentangkan kertas kerja berjudul 1Malaysia dan Penghayatan Islam sempena Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012, semalam.


Beliau yang juga Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional berkata, seseorang pemimpin perlu utamakan agenda bangsa dan negara, namun sekiranya si isteri dan anak-anak kepada pemim­pin hidup bermewah, perkara ini menunjukkan­ ada tidak kena.


Beliau berkata, tidak kena jika rakyat disuruh berjimat sedangkan isteri sendiri atau suami tidak berbuat sedemikian.


Ditanya sama ada menegur peribadi pemimpin dikatakan satu kesalahan, katanya, dalam Islam, ia digalakkan dan apa dilakukan pemimpin itu menjadi perbualan.


Malah, kata Ridhuan Tee, menegur keluarga pemimpin tidak melanggar hak asasi manusia kerana sekiranya ia dibiarkan, lama-kelamaan pemim­pin itu menjadi sasaran musuh politik dan beliau tidak mahu berlaku.


“Begitu juga jika isteri atau suami mengetahui ahli keluarga­ mereka melakukan maksiat dan perbuatan tidak bermoral, mereka perlu menegur, bukannya mempertahankan apa yang dilakukan itu.


“Mesej saya cukup jelas. Kita tidak sepatutnya menegak benang basah dan mempertahankan yang salah. Inilah yang berlaku dalam dunia politik sekarang,” katanya.


Katanya, pemimpin itu tidak perlu bercakap mengenai integriti dan memberi nasihat kepada orang lain sekiranya diri sendiri tidak betul dan perbuatan itu tidak selamanya boleh menyelamatkan dirinya.