MAHAMUD JAAFAR
MAHAMUD JAAFAR
SEREMBAN - Program Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dijadualkan berlangsung di Taman Seremban Jaya hari ini mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk setempat.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, rata-rata penduduk bimbang jika penganjuran program itu akan menyebabkan kekecohan.


Mahamud Jaafar, 55, berkata, jika diteruskan, program berkenaan harus mengikut prosedur dan tatacara betul.


“Saya sudah tinggal hampir 12 tahun di sini, jadi saya cuma mahukan keadaan yang aman, itu sahaja,” katanya.


Rohaya Senin, 40-an, pula berkata, sepatutnya himpunan tersebut dilakukan di lokasi lain, bukan di Taman Seremban Jaya.


“Buatlah di stadium. Saya sebenarnya tak setuju dengan penganjuran program ini kerana ia tidak beri apa-apa kesan dan akan menyusahkan penduduk saja,” katanya.


Pendapat sama turut dikongsi seorang peniaga yang dikenali sebagai Dino, 56.


"Bagaimanapun, saya mungkin akan turun untuk jadi pendengar dari jauh dan bukannya sebagai penyokong jika program itu tetap diteruskan penganjur,” katanya.


Sebaliknya bagi M Thana, 41, sebagai peniaga, dia pula akan mengambil kesempatan untuk berniaga jika program berkenaan diteruskan.


"Saya tak minat politik dan saya dapat tahu berkenaan program ini pun dari media.Saya akan ambil peluang berniaga makanan jika program diteruskan," katanya.