Ketua Wanita Umno: Rang undang-undang antilompat parti hanya ‘gempak politik’
November 02, 2012
GEORGE TOWN, 2 Nov — Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil menyifatkan langkah kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan
rang undang-undang antilompat parti sebagai gimik dan sandiwara politik
menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Beliau (foto fail) berkata sebenarnya ia merupakan cubaan Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk menimbulkan sesuatu isu.
“Itu semua gempak politik, sandiwara Guan Eng... dia cari macam-macam
isu... nak mempopularkan diri dia sendiri,” katanya kepada pemberita
selepas melawat rumah ibu tunggal, M. Sithalachemy, 57, di Sungai Ara,
dekat sini hari ini.
Semalam, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan rang
undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012
bertujuan membanteras amalan melompat parti untuk mendapatkan habuan.
Rang undang-undang itu memperuntukkan seseorang anggota dewan yang
telah dipilih sebagai calon sesebuah parti politik hendaklah
mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan
keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi anggota parti politik
tersebut atas apa-apa juga sebab.
Shahrizat berkata tindakan itu juga jelas menunjukkan Lim sudah
hilang keyakinan terhadap anggota parti pakatan pembangkang dan
pentadbirannya.
“Dia takut orang belah (tinggalkan) parti dia, konco-konco dia lari,”
katanya. “Sebab itu dia nak kunci dari sekarang. Saya nak persoalkan
nawaitu Guan Eng adakah ini betul-betul proses demokrasi atau dia
betul-betul takut habis.”
Dalam perkembangan lain, Shahrizat menggesa semua jentera pergerakan
Wanita Barisan Nasional (BN) untuk turun padang membantu rakyat miskin
terutamanya di negeri-negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.
Beliau berkata maklum balas yang diterimanya menunjukkan ramai
golongan miskin dan kurang berkemampuan di negeri-negeri berkenaan tidak
mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri.
Katanya, jentera Wanita BN perlu pergi dari rumah ke rumah untuk memberi bantuan kepada golongan berkenaan.
Terdahulu, Shahrizat menyampaikan sumbangan RM1,000 dan barangan
keperluan asas kepada Sithalachemy yang menjalani pembedahan akibat
masalah urat dua bulan lepas. — Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment