Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
KOTA KINABALU - Pengundi perlu bijak memilih wakil rakyat yang bukan sahaja berwibawa dan berkredibiliti, tetapi mampu menjaga kehormatan dewan persidangan.

Merujuk kepada keadaan terkini dalam Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, tidak wujud lagi kesopanan di kalangan anggota Parlimen setiap kali dewan itu bersidang.


"Oleh kerana makin ramai pembangkang dalam Dewan Rakyat, perselisihan faham akan berlaku antara mereka pembangkang dengan parti yang memerintah (Barisan Nasional).


"Kita bukan sahaja perlu berani menyuarakan isu-isu serius, tetapi biarlah dengan cara berhemah. Kita perlu hormat dewan," katanya pada Program Jejak Siswa 1Malaysia ke Parlimen di Universiti Malaysia Sabah di sini hari ini.


Abu Zahar berkata pertelagahan bukan cara terbaik dalam mencari penyelesaian kepada masalah yang diutarakan.


Malah, katanya sikap buruk yang dibawa kepada persidangan tersebut mencerminkan perwatakan negatif anggota dewan yang turut dipanggil 'Yang Berhormat'.


"Kita perlu bijak ketika bercakap. Kita tidak perlu meninggikan suara dan mengucapkan perkataan kesat untuk menyuarakan sesuatu," katanya. - Bernama