Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
SERI ISKANDAR - Dalam usaha menawan Putrajaya, Pakatan Rakyat (PR) harus menang dengan majoriti meyakinkan di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kerana Perak boleh menjadi kubu penting perikatan itu bagi mencapai matlamat memerintah negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, matlamat dalam PR sudah cukup mantap akan akan berkekalan sehingga mereka berjaya menawan Putrajaya kelak.


Beliau turut melaungkan janji untuk mengkaji semula perjanjian dengan syarikat yang membekalkan elektrik supaya dapat diturunkan tarif elektrik.


"Kita tak peduli syarikat berkenaan dari mana atau bangsa apa. Kita mahu mereka berhenti menekan rakyat melalui tarif elektrik tinggi," katanya ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perak di Padang Sidec, Bandar Seri Iskandar, kelmarin.


Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Mohamad Sabu; Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin dan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Dr Tan Seng Giaw.


Anwar yang juga Ketua Umm PR dan PKR berkata, kehadiran yang ramai ke majlis berkenaan merupakan tanda rakyat sudah muak dengan dakyah Umno dan mahu bangkit menumbangkan parti itu untuk merasai kebebasan.


Beliau turut menyatakan PR akan menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat bermula sekolah rendah hingga universiti sekiranya mendapat mandat memerintah negara.


"Anak-anak muda adalah tenaga penting untuk negara dan mereka perlu diberi penduduk lebih baik secara percuma bermula dari sekolah rendah hingga universiti. Kita juga akan hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Insya-ALLAH, negara tidak akan bankrap," katanya.


Menyentuh Himpunan 1 juta Rakyat pada 12 Januari 2013, beliau menegaskan perhimpunan bertujuan membersihkan PRU 13 dan rakyat perlu turun demi menyampaikan mesej kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN).


Sementara itu, Abdul Hadi dalam ucapannya berkata, Umno lebih menekankan perkataan Melayu berbanding Islam dalam pemerintahan mereka serta tidak mempunyai ilmu dan akhlak mulia untuk memerintah negara.


"Memang tidak dinafikan bahawa kita harus sayang kepada bangsa kita. Tetapi ia tidak boleh dijadikan akidah. Begitu juga dengan ilmu. Jika kita ada ilmu tetapi penakut, bagaimana mahu memerintah negara?" katanya.


Kira-kira 30,000 hadirin membanjiri himpunan.