KEMAMAN – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia untuk berdialog dan menjawab apa juga soalan yang dikemukakan semasa sesi penjelasan isu Amanat Haji Hadi menerusi siaran langsung televisyen yang dimintanya.
"Terpulang kepada kerajaan bila mahu diadakan (sesi penjelasan itu) tetapi dengan syarat, perlu siarkan secara langsung selama sejam. Saya tidak mahu rakaman sebab (rakaman) boleh ditipu (disunting)," katanya di sini, semalam.

Pemimpin Pas itu berkata, dalam mencari kebenaran, semua pihak perlu jujur dan ikhlas.

"Sebab itu saya sedia nak berdialog, sedia jawab apa juga soalan," katanya.

Abdul Hadi yang isi ceramahnya 31 tahun lalu dan dikenali sebagai 'Amanat Haji Hadi' dibangkitkan semula baru-baru ini sebagai punca perpecahan umat Islam di negara ini, beberapa hari lalu menyatakan kesediaan untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu jika peluang untuk bersiaran secara langsung selama sejam menerusi saluran televisyen RTM dan TV3.


Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam kenyataan balasnya berkata, pihaknya tiada masalah untuk menyiarkan penjelasan Abdul Hadi namun ia boleh dibuat secara rakaman dan bergantung kepada pertimbangan RTM sama ada ia sesuai dijadikan bahan berita atau sebaliknya.

Abdul Hadi berkata, jika menteri bersetuju dengan permohonannya, tidak perlu lagi untuk beliau menulis surat rasmi kerana permintaannya itu disiarkan media.

“Hal itu (permintaan bersiaran) media dah siar jadi tak perlu lagi buat surat rasmi, dia (kerajaan) buka peluang, jadi saya akan pergi. Sebut saja bila,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Surau Kampung Jaya sebelum melawat dan menyampaikan bantuan kepada lebih 1,000 mangsa banjir di Dun Air Putih dan Dun Chukai di sini, semalam.

Abdul Hadi berkata beliau juga sedia untuk disoal siasat pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai perkara itu tetapi dengan syarat, dialognya dengan Jakim perlu dirakam.

“Saya setuju dan boleh pergi Jakim tapi ia (sesi dialog) perlu dibuat rakaman sepenuhnya (sebagai bukti) sepertimana saya buat dengan Ikim (Institut Kefahaman Islam Malaysia) sebelum ini,” katanya.