Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Muslimat Pas di 'gear 5' hadapi PRU13
RUZY ADILA IDRIS 26 Disember 2012
Siti Zailah Siti Zailah... 'PRU kali ini memang kita jangka paling kotor'. 
 
DALAM menghampiri pilihan raya, Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff yakin mengatakan sayap parti yang kedua terbesar di Malaysia itu kini berada dalam gear lima bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ahli Parlimen Rantau Panjang ini berkongsi aspirasi dan perancangan Muslimat Pas dalam mengatur langkah bersama komponen parti dalam Pakatan Rakyat (PR) menuju ke Putrajaya.

Sejauhmanakah perancangan itu diyakini beliau mampu meyakinkan rakyat terutamanya penyokong Pas. Ikuti wawancara bersama Sinar Harian Online baru-baru ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Muktamar baru melabuhkan tirai, berapa peratus persiapan dan keyakinan Muslimat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU)?
SITI ZAILAH: Setakat ini persiapan Dewan Muslimat Pas untuk menghadapi PRU13 sudah berada pada ‘gear lima’. Sebenarnya Dewan Muslimat dan seluruh jentera Pas sudah menunggu PRU13 ini sejak dari tahun lepas lagi.

Bahkan bukan sahaja kami dari Dewan Muslimat, malahan seluruh rakyat sebenarnya masih tertunggu-tunggu tarikh Parlimen akan dibubarkan.

Insya-ALLAH setakat ini, setakat ini kita Muslimat dan seluruh ahli sudah bersedia. Persiapan kita insya-ALLAH lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini dengan pengalaman yang kita ada, insya-ALLAH semuanya berjalan lancar.

Perincian mengenai  persiapan itu tidaklah dapat saya dedahkan kerana ia adalah strategi kami dami dalam dalam pilihan raya kelak. Kesimpulannya kami sudah bersedia.

 
SINAR HARIAN ONLINE: Ada pihak mendakwa, pada Muktamar Pas yang berlangsung bulan lalu, isu-isu yang dibawa oleh Muslimat agak hambar dan tidak menjurus kepada persiapan pilihan raya. Komen YB?

SITI ZAILAH: Kalau kita lihat komen dari pemerhati-pemerhati muktamar dan politik, mereka sebenarnya memuji apa yang dilakukan dalam perbahasan usul Dewan Muslimat. Sebab isu dan usul yang di bawa pada muktamar kali ini adalah isu yang menjurus ke arah macam mana nak memimpin sebuah negara.

Jadi itu yang kita bawa. Isu pertama yang kita bawa ialah isu pembantu rumah asing. Banyak perbincangan, cadangan yang dihadamkan dengan begitu lumat. Saya kira lebih daripada 10 orang pembahas pada hari itu yang memberikan idea dan pandangan.

Jadi ini menunjukkan bagaimana Muslimat begitu peka tentang sistem sokongan yang perlu diwujudkan oleh kerajaan apabila kita mentadbir nanti iaitu bagaimana untuk kita membantu pekerja-pekerja wanita. Sebab kita lihat untuk menaikkankan guna tenaga wanita daripada 40 peratus sekarang kepada 60 peratus, kita memerlukan sistem sokongan yang mantap.

Maka antara sistem sokongan ialah keperluan terhadap penyelesaian terhadap masalah pembantu rumah dan apabila isu ini dibincangkan dengan ‘lumat’ dalam perbahasan, ini menunjukkan betapa Muslimat memandang jauh ke depan.

Mungkin pandangan orang, isu yang dibawa adalah hambar kerana dalam hujah kami tidak ada yang mencaci Umno secara ‘direct’ tetapi kami melihat jauh daripada itu. Tidak hanya semata-mata retorik untuk mencaci pihak lawan, bagi kami ialah apa cadangan kita untuk membawa perubahan kepada negara.

Bagi kami apa cadangan yang harus dibawa untuk bawa perubahan kepada negara. Begitu juga dengan dengan usul kedua yang berkaitan dengan pendidikan. Isu ini amat penting kerana ia memberikan masalah dan tekanan kepada seluruh guru-guru di seluruh negara.

Perkara ini juga dibincang dengan menyeluruh dan ada pro serta kontrannya. Kita melihat di sini apa yang disebut oleh pemerhati, Muktamar dari Pas Pusat iaitu Khalid Samad sendiri menyebut beliau tergamam dan kagum dengan hujah-hujah yang dikemukakan.

Beliau sendiri tidak sangka melihat kematangan pembentangan Muslimat dan mencadangkan supaya Muktamar Muslimat dijalankan selama dua hari, bukan sehari seperti yang dijalankan.
Jadi, tidak timbul isu kata isu yang dibawa hambar ataupun tidak.

SINAR HARIAN ONLINE: YB menyebut tentang pembantu rumah orang tempatan, jadi masih adakah orang tempatan yang mahu bekerja sebagai pembantu rumah?
SITI ZAILAH: Ya... maka sebab itulah dalam perbahasan ada yang mencadangakan agar sebuah institusi khas diwujudkan bagi mewujudkan satu industri baru sebagaiaman ini berlaku pada zaman Rasulullah SAW iaitu bagaimana kita menyelesaikan masalah pembantu rumah.

Jadi kalau perkara ini kita wujudkan dengan baik, tersusun dan tahap kemahiran yang tertentu, perkara ini tidak mustahil dilaksanakan.

SINAR HARIAN ONLINE: Bolehkah YB ulas mengenai bilangan peruntukan kerusi yang bakal ditanding oleh Muslimat pada PRU13?
SITI ZAILAH: Untuk PRU nanti Insya-Allah Muslimat telah mencadangkan supaya statisk yang telah kita ada dikekalkan supaya dikekalkan semua kerusi-kerusi yang dikhaskan untuk Muslimat, dan yang kedua, kita mencadangkan supaya bilangan calon Muslimat ditambah pada masa akan datang. Yang ketiga, kita menetapkan bakal-bakal calon yang akan kita kemukakan, calon tersebut layak sama ada di peringkat Dun ataupun Parlimen maknanya mereka ini layak dan berkemampuan. Inilah harapan kita.

Insya-ALLAH, jika kita lihat pada PRU12, Muslimat meletakkan 11 calon dan daripada jumlah itu, enam telah menang. Ini bermakna lebih daripada 50 peratus calon Muslimat telah menang.

Jadi pada tahun ini insya-Allah, kita akan letak lebih ramai lagi calon dan setakat ini kita kemukakan 31 nama, tetapi belum tentu semua nama diterima. Kita serah kepada pimpinan menilai kesesuaian mengikut tempat.

SINAR HARIAN ONLINE: Cadangan nama-nama tersebut merangkumi kawasan mana?
SITI ZAILAH: Ia merangkumi kawasan bandar dan luar bandar ada. Kita ikut kesesuaian orang dan tempat. Perkara ini kita serah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menilai dan meletakkan mana tempat yang sesuai.

Kita berharap lebih ramai lagi Muslimat dapat bertanding pada PRU akan datang sama ada di peringkat Dun ataupun Parlimen.

SINAR HARIAN ONLINE: Bolehkah YB huraikan sedikit mengenai ciri-ciri pemilihan calon yang 31 orang itu?

SITI ZAILAH: Dalam meletakkan calon, pertama sekali ciri-ciri pemilihan calon mestilah seorang yang mampu berkhidmat dan menjalankan tugas-tugas sebagai wakil rakyat, kerana tugas sebagai seorang wakil rakyat ini bukan satu tugas yang ringan tetapi sangat mencabar.

Mereka mestilah seorang yang istiqamah dan boleh dijadikan contoh oleh masyarakat, mendapat sokongan keluarga termasuk suami serta anak-anak.

Kita tak meletakkan secara umum. Ada yang muda, ada yang separuh umur. Insya-ALLAH akan ada calon baru. Peratusan pembahagian calon masih belum pasti kerana senarai calon masih belum diumumkan.

SINAR HARIAN ONLINE: Bila agaknya senarai itu akan diumumkan?
SITI ZAILAH: Mungkin sebaik sahaja pembubaran Parlimen berlaku, senarai itu akan diumumkan, insya-ALLAH. Sekarang ini masih lagi kekal sebagai rahsia parti. Ada yang muda, separuh umur yang memang mampu dan masih kuat untuk berkhidmat.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah perancangan Muslimat terutamanya dalam mengadakan kempen untuk meningkatkan sokongan pengundi terhadap Pas?

SITI ZAILAH: Kita menggunakan kaedah menerangkan iaitu apa tawaran yang dibawa oleh Muslimat dan kita telah kemukakan Agenda Berkebajikan Wanita Malaysia yang kita lancarkan pada Muktamar baru-baru ini.

Kita telah lancarkan baru-baru ini juga bersama Wanita Pakatan Rakyat. Isinya sama iaitu ke arah tawaran kepada wanita Malaysia. Kita ada tujuh tumpu utama yang melibatkan bidang pendidikan, kesihatan, politik, sosial dan wanita muda.

Semua ini, tawaran-tawaran perubahan yang ingin kita bawa kepada wanita negara ini supaya mereka nampak beza pemerintah PR dengan pemerintah yang ada sekarang. Setakat ini, maklum balas yang diterima setakat ini sangat positif, terutamanya sambutan dari generasi muda.

SINAR HARIAN ONLINE: Apa antara komen yang diterima itu?

SITI ZAILAH: Sangat baik… sebagai contoh, berkaitan pendidikan. Walaupun kita banyak sekolah, universiti dan institusi pengajian tinggi tetapi yang paling ketara ialah kita gagal melahirkan warganegara yang berakhlak dan mempunyai jati diri sehingga banyak timbul banyak masalah. Tawaran yang kita nak bawa ialah melalui pendidikan iaitu penekanan yang lebih semata-mata kepada akademik tetapi pembentukan peribadi, sahsiah dan pendidikan yang neutral gender, yang boleh menjadi perisai terhadap kemelut serta krisis akhlak yang ada pada hari ini. Perkara ini disambut baik oleh kebanyakan kaum wanita yang ditemui terutamanya kaum ibu dan wanita muda.
Kita juga meletakkan cadangan untuk mewujudkan Caruman Wanita Malaysia sebagai pengiktirafan suri rumah yang banyak menghasilkan modal insan yang penting untuk pembangunan negara tetapi tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya oleh kerajaan.

Secara tidak langsung, suri rumah turut menyumbang ke arah pembangunan negara.

Sebagai penghargaan, kita mulakan dahulu dengan suri rumah dari keluarga yang isi rumahnya berpendapatan rendah iaitu RM1,500 ke bawah dahulu.

Rancangannya ialah kami akan menggabungkan tabungan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso). Maknanya ada faedah yang surirumah akan dapat dan sekiranya surirumah terbabit sudah mencapai umur pencen, maka dia sudah ada simpanan sendiri.

Sumbangan kerajaan ini akan menjadi RM600 setahun dan menggalakkan suami menyumbang sejumlah wang sebanyak RM120 ke RM1,200 setahun kepada caruman yang sama.

Sasaran skim ini untuk memastikan seorang suri rumah mempunyai sekurang-kurangnya wang simpanan sebanyak RM30,000 ketika mencapai usia 50 tahun. Kami menjangkakan terdapat lima juta suri rumah bakal menyertai skim ini dan bakal menelan belanja kira-kira RM3 bilion setahun.

Duit ini dapat membantu suri rumah yang ingin menunaikan haji dan sebagainya. Perkara ini akan kita jalankan apabila kita menjadi kerajaan kelak. Selain itu, skim ini dapat membantu suri rumah sekiranya berlaku musibah dalam keluarga ataupun kecemasan maka mereka ada duit.

SINAR HARIAN ONLINE: Boleh YB jelaskan mengenai Caruman Wanita Sosial?
SITI ZAILAH: Yang pertama berkaitan ekonomi, dan pendidikan. Tumpu bagi ekonomi ialah bagi melahirkan kemampuan ekonomi di sudut wanita yang lebih produktif.

Yang kedua ialah kesihatan, pendidkan dan juga kesedaran politik. Mengenai kesedaran politik ini, kita tidak mahu wanita Malaysia begitu mudah diumpan dengan gula sekilo, dengan duit RM50, kain batik sehelai. Kita nak lahirnya wanita yang celik politik, mengetahui agenda masa depan, berpengetahui selain agenda wanita muda.

Selain itu, kita melalui kesedaran sosial, kita memberikan galakan kepada wanita yang menjadi suri rumah dari keluarga yang berpendapatan rendah untuk membuatkan tabungan untuk mereka.

Sebelum ini, kalau kerajaan umum bonus dan sebagainya, suri rumah tidak dapat apa-apa. Maka kita ingin beri pengiktirafan kukuh kepada semua suri rumah di luar sana.

SINAR HARIAN ONLINE: Berapa banyak peruntukan untuk melaksanakan program ini?
SITI ZAILAH: Dalam kaijan kita, kita menyediakan RM5 bilion di peringkat awal. Kajian dah buat kajian beberapa bulan lalu sejak kita mula merancang perkara ini.
 
SINAR HARIAN ONLINE: Menyentuh mengenai isu siapa Perdana Menteri (PM), Ketua Penerangan Muslimat dalam Muslimat juga ada menyatakan supaya Datuk Seri Hadi yang layak pegang jawatan no1 itu. Adakah itu merupakan pendirian peribadi ataupun Muslimat sendiri?

SITI ZAILAH: Sebenarnya dalam isu ini, Majlis PR telah memutuskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai PM. Maka itu adalah persetujuan di peringkat pimpinan PR.

Muktamar sangat demokratik. Mana-mana parti pun, ahlinya mahu presiden mereka menjadi PM. Itulah hasrat ahli, jadi pemimpin dengar sahajalah, kita tak boleh tolak hasrat itu. Tetapi pada sama, realiti politik kita perlu akur kepada parti mana yang dipilih oleh rakyat kelak.
Yang kita harap semua pimpinan tertinggi kita akan menang kerana itu adalah hasrat kita.
 
SINAR HARIAN ONLINE: Bolehkah YB jelaskan mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Muslimat terutamanya dalam berhadapan dengan PRU13 yang dijangka lebih sengit?

SITI ZAILAH: PRU kali ini memang kita jangka paling kotor dan paling tidak demokratik. Cabaran ini meliputi pelbagai aspek dan peringkat. Di antara cabaran besar ialah kita bakal menghadapi pilihan raya yang mungkin paling kotor dalam sejarah. Kenapa saya berkata demikian?
Yang pertama kita lihat, isu daftar pemilih. Walaupun kita sudah ada dialog dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi banyak lagi perkara yang kita nampak meragukan. Jadi itu antaranya... kita juga melihat penggunaan media kerajaan termasuk televisyen dan akhbar arus perdana digunakan habis-habisan berkempen bagi pihak Barisan Nasional (BN).
Begitu juga kita lihat peruntukkan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) malah ada macam-macam nama. Ini sekadar umpan pilihan raya. Kalau tidak untuk umpan, tak jadi BR1M bagi sampai dua kali.

SINAR HARIAN ONLINE: Mengenai krisis Gaza yang menimpa umat  Islam Palestin, apa lagi perkara yang wajar dilakukan oleh umat Islam?

SITI ZAILAH: Ketua-ketua negara Islam harus peka yang memainkan peranan, badan-badan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus bertindak dengan tegas. Ini kerana kezaliman yang dilakukan oleh orang Israel terhadap orang Palestin bukan baru ni, malah sudah berpuluh tahun mereka dianiaya. Malah Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama secara terbuka bagaimana beliau menyokong tindakan Israel atas alasan untuk mempertahankan diri.
Sedangkan kita apa yang melihat sendiri, masyarakat Israel sendiri sepatutnya lebih berhak mempertahankan sebab begitu lama mereka dizalimi dan dianiaya.

Bagi kita di Malaysia, sepatutnya kita apa yang boleh kita lakukan ialah mendesak kuasa-kuasa besar dan pihak-pihak bertanggungjawab ialah melalui memboikot barang-barang keluaran Israel.

Sebenarnya, Israel amat takut jika ekonominya diboikot dan terjejas. Boikot McDonald's difahamkan sangat berjaya. Di Jepun, lebih 100 cawangan McDonald's didakwa terpaksa ditutup. Rakyat Jepun walaupun bukan Islam tetapi mereka sangat prihatin terhadap umat Islam di Palestin.

Jadi, kita sebagai umat Islam harus mengambil tindakan yang sama dan sebarang kerjasama dengan Israel adalah pengkhinatan terhadap umat Islam.

SINAR HARIAN ONLINE:  Jika Pemuda Pas sudah tampil isytihar harta, apa pula pendirian pihak Muslimat?

SITI ZAILAH: Dalam penggulungan Muktamar, Presiden Pas telah menyebut bahawa perkara ini sudah dipersetujui. Apabila sudah dipersetujui, semua dewan termasuk Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat semuanya juga bersetuju. Malah kami sangat mengalu-alukan cadangan untuk mengisytiharkan harta.

Langkah ini diambil bagi penjelasan, di kalangan kita, tidak ada yang akan mengambil kesempatan jika kita berkuasa.

Ini membuktikan ketelusan dan kita berani untuk memberikan penjelasan kepada rakyat bahawa matlamat kita bukan untuk kepentingan peribadi, mengkayakan diri sebaliknya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat terlebih dahulu.

SINAR HARIAN ONLINE: Apa pandangan YB mengenai peranan pemimpin wanita di Malaysia pada masa sekarang? Adakah hanya lebih terampil untuk perjuang isu-isu berkaitan wanita dan kekeluargaan sahaja?

SITI ZAILAH: Peranan pemimpin wanita sebenarnya sangat besar. Kita melihat lebih separuh daripada rakyat kita adalah wanita. Sebenarnya kita pemimpin wanita PR dalam Parlimen, bukan sekadar bercakap mengenai isu wanita, malah isu apa sahaja kami perjuangkan.

Apa sahaja isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara kami perjuangkan. Lebih-lebih lagi kita memfokuskan isu wanita. Kenapa kita fokuskan isu wanita? Kerana banyak isu lain dibentangkan oleh pemimpin Muslimin.

Tetapi isu khusus kepada wanita ini kita wanitalah yang elok ke depan kerana banyak isu-isu yang membabitkan masalah wanita Malaysia.

Oleh sebab itu, sebuah kerajaan yang bersih dan yang meletakkan kepentingan rakyat bukan semata-mata sebagai slogan, tetapi kita semua rakyat terbela. Inilah yang yang menjadi dasar dalam Kerajaan Berkebajikan yang ingin kita bawa.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.