Banjir semakin buruk, mangsa 17,443
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sebidang, Bendang Pak Yong, Tumpat hari ini. - Foto Bernama
 
Keadaan banjir yang melanda negeri di Pantai Timur semakin buruk dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan di Kelantan, Pahang dan Terengganu meningkat kepada 17,443 petang ini berbanding 13,746 orang pagi tadi.

Keadaan banjir di Terengganu paling buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 10,412 orang petang ini berbanding 6,550 pagi tadi.

Menurut portal banjir negeri, mangsa yang paling ramai dipindahkan sehingga 6 petang ini ialah di daerah Besut seramai 2,666 orang diikuti Kemaman (2,272 orang), Dungun (1,983 orang), Hulu Terengganu (1,390 orang), Besut (1,088 orang), Kuala Terengganu (807 orang) dan Marang (206 orang).

Sehingga tempoh itu, 30 pusat pemindahan dibuka di Setiu, Kemaman (23), Dungun (29), Hulu Terengganu (16), Besut (10), Kuala Terengganu dan Marang (masing-masing 7).

Setakat ini, banjir di Terengganu meragut dua nyawa, iaitu seorang wanita Samhanim Ramli, 36, yang lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Lanjut di Jambatan Permaisuri, Setiu semalam dan terbaharu, seorang remaja Mohd Hamidi Abdul Hamid, 15, yang lemas ketika bermain air di kawasan perumaham Bukit Mentok pada kira-kira 2 petang.