Banjir Terengganu: Korban kedua, seorang masih hilang
26 Disember 2012
KEMAMAN - Kejadian banjir di Terengganu meragut satu
lagi nyawa hari ini apabila seorang remaja lemas ketika bermain air
banjir di kawasan perumahan Bukit Mentok, di sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu mangsa Mohd Hamidi Abdul Hamid,
15, dan seorang rakannya, dipercayai bermain dan mendayung sampan
berhampiran rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kemaman Che Suza Che Hitam berkata seorang lagi
rakan mangsa yang belum diketahui identitinya pula turut dilaporkan
hilang dan belum dapat dipastikan lagi nasibnya.
"Kejadian itu disedari keluarga mangsa setelah hampir dua jam mangsa tidak pulang ke rumah.
"Keluarganya melihat sampan yang dinaiki mangsa kosong dan lantas mencari mangsa di kawasan sekitar.
Menurutnya ahli keluarga mangsa bagaimanapun berjaya menemui mangsa kira-kira 4.30 petang tadi berhampiran sampan berkenaan.
Panik dengan kejadian itu bapa mangsa memanggil Jabatan Pertahanan Awam
(JPAM) lalu menghantar mangsa ke hospital dan pihak hospital
mengesahkan mangsa telah meninggal.
Difahamkan kediaman mangsa di taman perumahan itu ditenggelami air sedalam 1.5 meter berikutan hujan lebat sejak dua hari lalu.
Dalam pada itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
yang turut melawat mangsa banjir di daerah ini hari ini berkata banjir
yang melanda daerah Kemaman tahun ini adalah antara banjir terburuk
sejak lebih 30 tahun lalu. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment