AES
Sistem AES
 
MELAKA - Cuepacs mengulangi gesaan supaya pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan sementara sehingga taklimat menyeluruh berkaitan sistem itu selesai dijalankan di semua agensi dan jabatan kerajaan.

Dipetik Bernama, Presidennya Datuk Omar Osman berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan sewajarnya ekoran pelaksanaan tersebut terlalu mendadak dan kurangnya pendedahan jelas dalam kalangan penjawat awam terutama melibatkan pemandu.


"Cuepacs bukan membantah atau tidak setuju. Kita sokong pelaksanaan ini kerana ia baik untuk memberi kesedaran kepada pemandu namun pendedahan sistem itu amat kurang," katanya.


Beliau berkata, kajian terperinci dan statistik berkaitan pelaksanaan sistem AES termasuk, kesesuaian pemasangan kamera itu di beberapa lokasi juga perlu diambil kira secara menyeluruh sebelum ia dikuatkuasakan.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Kad SP1M kepada 500 ahli Cuepacs di sini hari ini.


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyempurnakan majlis penyerahan itu di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di sini.


Dalam pada itu kata beliau, Cuepacs menyasarkan 50,000 penjawat awam menyertai Skuad Pengguna 1Malaysia (SP1M) menjelang Mac depan.


Kata beliau, sehingga kini seramai 8,000 penjawat awam dari enam negeri termasuk Johor, Negeri Sembilan, Kedah telah menjadi ahli SP1M sejak ia dilancarkan Oktober lepas.


"Kita minta semua penjawat awam dimestikan menjadi ahli SP1M kerana penyertaan penuh sektor awam dapat meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan kawalan harga barangan," katanya.


SP1M ditubuhkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 22 Mac lepas untuk memainkan peranan sebagai mata dan teliga kerajaan dengan lebih berkesan dalam usaha memantau kenaikan harga barang selain menggalakkan amalan perniagaan yang baik.