Logo Piala AFF
.
"BUAT terbaik demi negara dan jangan ulangi kesilapan mudah yang akhirnya mengundang padah kepada kita." Demikian pesanan terakhir pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal menjelang perlawanan menentang Thailand dalam saingan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Subahan ketika dihubungi Sinar Harian Online kekal optimis dengan kemampuan anak buah Datuk K. Rajagobal mampu melakar keputusan positif malam ini biarpun Thailand dikatakan menjadi pasukan pilihan.

"Thailand memang mempunyai pemain yang hebat di semua bahagian, tapi itu semua tidak membuktikan kita tidak boleh melakar kejutan.

"Apa-apa pun, saya harap para pemain akan memberi tumpuan penuh kepada perlawanan penting ini.

"Saya percaya pemain mampu mencapai keputusan baik malam ini dan saya amat berharap mereka akan mempamerkan permainan baik apabila berdepan dengan Thailand," katanya.

Ditanya tentang peluang skuad negara untuk menamatkan badi tidak pernah menang ke atas Thailand sejak 2004, Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, peluang tetap ada.

"Mereka juga tidak pernah menewaskan kita (seri tanpa jaringan peringkat kumpulan Piala AFF 2010).

"Namun selepas dua tahun berlalu, tetapi sudah agak berubah sekarang.

"Saya tidak memperkecilkan pihak lawan, tetapi jika kita dapat mengatasi Thailand, tiada masalah untuk kita mempertahankan kejuaraan selepas itu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru penyokong tempatan supaya membanjiri Stadium Nasional malam ini untuk memberi sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya seperti yang mereka lakukan pada perlawanan skuad itu dengan Indonesia pada 1 Disember.

Perlawanan akan bermula jam 8 malam ini.

"Kalau penyokong tempatan memenuhi stadium, saya yakin ia akan memberi satu semangat yang amat luar biasa kepada para pemain.

"Namun, saya turut berharap mereka (penyokong) datang dengan cara berhemah kerana Thailand datang ke negara ini sebagai tetamu yang harus diberi layanan dengan baik," katanya.