Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Selasa, 4 Disember 2012

Kaum Muda dan Akal

Oleh Hasmi Hashim
  
Adapun gagasan pencerahan itu, buah fikir serta segala cita-cita pembaharuan yang tersandar kepadanya, sudah terasa berbenih sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Hanya, dalam setiap zaman, cita-cita berkenaan perlu diberi bahasa baharu di atas penelitian persoalan-persoalan semasa yang tentu sahaja sudah banyak beza dengan zaman-zaman sebelumnya.
Dan, tidaklah dapat ditemukan tapak persoalan sama berhubung soal tatanegara seandainya tidak diperakui bahawa politik dan kekuasaan perlu akhirnya bermatlamat membangun tamadun. Politik bukan cuma soal jadi penguasa dan pemerintah. Huraian mengenainya telah berkali-kali saya nyatakan sebelum sampai ke forum ini sekalipun. Terbaharu adalah dengan tajuk “Mencari Kili Suci” yang terbit dalam portalJalantelawi.com; bahawa begitu dalam banyak kes, batu penghalang kepada tujuan mengeluarkan manusia daripada “ketidakmatangan yang ditanggungnya sendiri” adalah datangnya daripada agamawan, institusi agama, yang keduanya telah bersekongkol dengan kekuasaan yang korup.[1
]
Sepanjang sejarah dunia ini, tidakkah telah menyaksikan banyak raja-raja dan penguasa yang tak berguna, yang kemudiannya hanya meruntuhkan tamadun bangsa sendiri? Sementara seperti ungkapan seorang penulis di Era Pencerahan Eropah, Diderot berkata “filasuf mengkritik keras paderi, begitu juga sebaliknya. Namun filasuf tidak pernah membunuh seorang paderi pun tetapi paderi telah membunuh ramai filasuf”. Ibnu Khaldun, di dalam Mukadimah menyebutkan, simtom-simtom kehancuran itu berada pada “tahap yang kelima”.

Apa yang berlaku pada tahap berkenaan ialah pemegang tampuk pemerintahan mula suka berfoya-foya—membelanjakan kekayaan yang telah dikumpul oleh para pendahulunya dengan cara berlebih-lebihan untuk golongan bangsawan. Dia juga mengambil orang bawahannya yang berwatak jahat untuk melakukan tugas-tugas penting. Sementara sifat orang-orang yang diambil bekerja itu tidak mengetahui apa yang perlu dilakukannya.[2]

Demikian, secara keseluruhan Mukadimah oleh Ibnu Khaldun tidak lain adalah huraian panjang lebar akan keperluan dan cabaran kalamana kekuasaan-politik dilihat sebagai alat membangun tamadun. Tanpa kesedaran sesederhana itu, maka perebutan jawatan tak lain hanyalah perihal politik sempit peribadi-peribadi. Politik jenis ini akan hanya ibarat kata petuah, si kudung dapat cincin; tidak dia tahu untuk apa cincin kerana dia kudung; dan tak berguna pula kuasa kepadanya selain hanya untuk bermegah-megah.

Lantas apabila disebut akan istilah “Pencerahan”, maka paling tinggi sekalipun akan dikaitkan dengan Zaman Enlightenment di Eropah yang tercetus abad delapan-belas. Begitu pula ada orang-orang yang malas, lemah atau tak cermat berfikir pernah mengaitkan slogan “Reformasi” dengan gerakan Protestant Reformation di dalam agama Kristian sepertimana yang dibawa Martin Luther pada abad ke-16. Semua ini adalah tafsiran buram.

Kerajaan Pulau Pinang [sama seperti kerajaan negeri Selangor, Kedah dan Kelantan] bolehlah ditandakan sebagai “Kerajaan Reformasi”. Kerajaan-kerajaan ini adalah Pemerintah yang terbentuk daripada selusur jejak Reformasi 1998”; sama ada aktivisnya, pemimpin pelbagai peringkat; bahkan persoalan dan dasar yang dibawa tak lain adalah terkepal sebermula peristiwa “September 1998”. Demikian, selepas empat tahun berdirinya kerajaan-kerajaan empat negeri itu, maka elok juga diukur sejauh mana pembesar-pembesarnya betul-betul faham apa arti dan tujuan-tujuan reformasipembaharuan atauislah (?) yang nampaknya tak difahami dan gagal dirungkai oleh rejim sebelum mereka. Jalan pintas yang dilakukan oleh pewaris rejim itu ialah melabel-semula dengan bungkusan baru seperti penggunaan istilah “tranformasi” yang tipis pengertian.

Sering ditanya, apakah matlamat agung politik-perubahan yang hendak dibawa? Atau yang mahu dijanjikan hanyalah selingkar pemberian air percuma, penghapusan saman letak kereta, cikgu sekolah tadika naik gaji dan seumpama-seumpama itu? Kalau hanya seumpama itu, maka bukanlah sesuatu yang boleh dipandang jelek atau perlu ditentang kalau lawan politik Pakatan Rakyat memberikan wang langsung RM500 sepertimana dalam program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menjelang pilihanraya umum.

Arakian perlu terus dipertanyakan tanpa jemu kepada para pemimpin politik, apakah sebenarnya yang dilawan; soalan yang hanya dalam nada lain kepada maksud, apa itu Reformasi? Seiringan itu, maka pencerahan pasti akan segera naik panggung.

AKTIF DAN PROGRESIF
Perspektif agama yang diketengah Syed Sheikh Al-Hadi (1867-1934) adalah Islam yang mampu menjadikan seawal-awalnya masyarakat Muslim yang progresif serta maju. Kekuatan asas yang tercecer kalangan masyarakat Muslim adalah kekuatan akal dan daya fikir. Lantas, tidak hairanlah mengapa akhirnya Muslim tidak punya daya hidup nan kental. Semakin hari semakin merela diri jadi keliru dan melemah.

Sepertimana juga Ibnu Khaldun yang mengingat dan meletakkan peranan dan kemuliaan manusia (berbanding binatang) tidak lain adalah disebabkan Tuhan telah mengurnia manusia dengan akal (“ra’y”). Allah, jelas Ibnu Khaldun, membezakan manusia daripada makhluk-makhluk lainnya dengan keupayaan untuk dijadikan sejak awal-awal lagi suatu kesempuranaan dan sehabis mulia dan berdarjat daripada makhluk-makhluk yang ada.[3]
Kongkongan terhadap akal adalah penjajahan tingkat pertama. Buku Syed Sheikh yang popular yang turut cuba membicarakan hal ini adalah “Ugama Islam dan Akal”, yang edisi baru dicetak pada 1965.[4] Akal-dengan-Tuhan, kepada Syed Sheikh bukan subjek yang terpisah. Hujahnya:

Apa, dapat-kah lari lagi ‘akal yang menuntut kebenaran, daripada mengaku bahawa sa-benar2-nya ada Tuhan yang sangat2 berkuasa atas tiap2 suatu dengan sebab ada segala tanda2 kuderat-kuasa-Nya itu di-pandang dan dapat di-rasa serta dapat di-perhati dengan mata kepala dan mata hati yang menggunakan ‘akal.”[5]

Seruan itu tentu sahaja pada ketika ini bagi sesiapa yang pernah membaca makalah ringkas filasuf Jerman, Immanual Kant (1724-1804), “Was ist Aufklärung?” akan tahu sejajaran pandangan Kant dengan Syed Sheikh. Tulis Kant bahawa ketidakmatangan seseorang manusia bukanlah disebabkan kurangnya kefahaman, tetapi kurangnya azam untuk menggunakannya (kefahaman itu) tanpa panduan orang lain. Seruannya adalah “Sapere Aude” demi beranilah menggunakan kefahaman sendiri.[6] Ya! Kant tidak hanya terhenti di situ. Dia di dalam karangan sama segera memashyurkan bahawa “zaman ini,” kata Kant, “iaitu abad Friederich, adalah Zaman Pencerahan”.[
Entah apa sialnya, dalam zaman mana sekalipun, golongan yang menyeru dan bertindak atas kecerdasan akal (pencerahan) akan disisih atau paling tidak dicemuh dengan macam-macam tuduhan liar. Mereka ditindas. Ada yang dibunuh.

Misalnya bukan hanya berlaku kepada Syed Sheikh dan lingkungan beliau yang berkongsi kesedaran sama, tetapi juga pernah menimpa ke atas filasuf di dalam pemerintahan Andalusia, iaitu Ibnu Rushd (nama penuhnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad: 1126-1198). Ibnu Rushd dalam garis hayatnya telah bergelumang dengan cabaran seumpama demi membuktikan bahawa akal-sedar sama sekali tidak selamanya berlawanan dengan agama. Dalam kata mudah, falsafah tidak bertentangan dengan syariah.

Sepintas lalu, Ibnu Rushd menyeru, termasuk di dalam perkara-perkara agama serta ayat-ayat Quran seharusnya dapat dihujahkan dengan hujah yang dapat didatangkan pembuktian-pembuktian (empirical argument). Jalan pemikiran itu juga sering disebut sebagai “falsafah”. Adapun sekali peringatan Ibnu Rushd bahawa menghalang orang menggunakan akal untuk mencapai kebenaran tidak lain umpama menghalang orang yang dahaga meminum air yang dingin dan lazat sehingga menyebabkan seseorang itu mati [akibat dahaga] semata-mata kerana [barangkali sebelumnya] ada seseorang yang tercekik air.[8] Mati terbukun air adalah kebetulan; mati kerana dahaga adalah pasti.

Meski pembelaan terhadap akal-sihat dan waras telah sampai ke satu paras ke kemuncak, tapi yang tetap terjadi di gelanggang kekuasaan dan di perut masyarakat tetap sahaja merupakan helah mahupun serangan peribadi. Ketika mula-mula Syed Sheikh memimpin sidang pengarang Al-Imam di Singapura selama empat tahun sebermula 1906, sehinggalah penerbitan majalah bulanan Al-Ikhwan di Pulau Pinang pada 1926; dua tahun selepas itu, dia menerbitkan pula surat khabar dua kali seminggu, Saudara. Keghairahan Syed Sheikh untuk berkali-kali menerbitkan majalah di awal abad 20 lalu boleh sahaja dianggap sebagai kesedaran baru dan progresif pada ketika itu.

Terbukti ‘sasaran serangan’ Syed Sheikh menjurus kepada “Ketua-ketua Agama”. Dalam satu karangan panjangnya di dalam Al-Ikhwan keluaran ke-3 (16 November 1930: muka surat 65-75), dengan tajuk “Bukan Sa-kali-kali Agama Islam ini Sebab bagi Kejatuhan Kaum Islam tetapi Hanya-lah sebab Angkara Ketua-ketua Agama” menegaskan kebodohan jualah yang menyebabkan runtuhnya sesuatu pemerintahan Muslim. Antara hujah Syed Sheikh yang sudah diterjemah dalam buku berbahasa Inggeris, “The Real Cry of Syed Shaykh Al-Hadi” begini:

So Wrapped in ignorance and stupidity and so covered by continual darkness are their minds that they have lost all ability to understand the true calling sublime religion.”[9
]
Golongan yang dimaksudkan Syed Sheikh dalam kenyataan di atas ialah penguasa Muslim di Mesir di bawah pemerintahan Abbasiyah yang runtuh apabila diserbu dan diserang oleh bangsa Monggol [atau disebut juga sebagai “Tartar”] pada 1258. Dapatlah kita faham akan pesan yang mahu dititipkan Syed Sheikh mengenai kelemahan dan gelap akal sehingga sebuah kerajaan yang bagaimana besar pun dapat ditumpaskan. Serangan Syed Sheikh kepada golongan “ulamak” juga sangat jelas dan keras di dalam tulisan lain, yang bertajuk “Perchayakan Ulamã’: Pertelingkahan di-antara kaum Tua dengan Kaum Muda” yang juga terbit di dalam majalah al-Ikhwan pada 1929. Tunjulan Syed Sheikh bahawa ulamak sendiri bukanlah “maksum” dan pasti betul.

It is for this reason that Kaum Muda contends that not all words uttered by the ‘ulamã’ are necessarily true and should be accepted as we accept what is written in the Qur’ãn!”[10
]
Menurut seorang lagi penulis dalam buku yang sama, Linda Tan, sedari awal-awal lagi penerbitan Al-Imam, sepertimana yang menjadi salah satu judul karangan Syed Syeikh, iaitu dia berkehendak di dalam cita-citanya untuk “Menuntut Ketinggian akan Anak-anak Negeri”.[11] Sifat paradok kaum tradisionalis, “Kaum Tua” atau pernah juga disebut sebagai “lebai pondok” yang “memakai ketayap” yang sering ‘bersenang-senang’ dengan kefahaman tradisi, cuba dijolok apabila membawa kenyataan sekiranya benar golongan itu telah menggunakan akal-fikirnya, mengapakah diizinkan orang lain yang memerintah, menjadi penguasa di tanahair tercinta ini?[12]

Banyak sekali tulisan-tulisan yang disiar melalui media cukup menampar dan memberi kesan khasnya kepada penguasa dan agamawan yang berada dalam lingkaran kekuasaan. Sebenarnya jolokan “Kaum Muda” adalah kata yang awalnya merupakan kata ejek kepada golongan pembaharuan, walaupun ketika di Singapura, mereka terlebih dahulu dikenali, misalnya sebagai “Kaum Al-Manar”.[
Sebagai perbandingan, mungkin keadaan hampir serupa juga berlaku di Indonesia ketika kelompok seniman dan budayawan yang menulis dan menyokong “Manifesto Kebudayaan” (terbit pada 1963 dan dicetuskan oleh Wiratmo Soekito) telah diejek-ejek dengan gelar “Manikebu” oleh kelompok lawan mereka yang berada di dalam Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra). Begitu jolokan berkenaan telah kekal sehingga hari ini sebagai sesuatu yang tidak lagi bernada ejekan, apatah lagi bermaksud buruk.

Kepada William R. Roff, iaitu daripada pengamatannya terhadap “Golongan Al-Manar” atau “Kaum Muda”, beliau merumuskan bahawa yang menjadi perkara utama dan prinsip-prinsip “Kaum Muda” ialah pandangan yang manusia haruslah menggunakan akal untuk menentukan kebenaran dalam agama. Fungsi akal-sihat bagaimana pun tidak terbatas kepada persoalan agama sahaja, tetapi meliputi hal-hal lain serta harus tegas di dalam menolak sifat “karut penerimaan membuta tuli kekuasaan perantara.”[1
Kesempurnaan Islam bagi Kaum muda, tambah William, bukan matlamat akhir. Hal itu tidak lebih sebagai alat bagi menggerakkan dan mengarahkan perubahan sosial dan ekonomi untuk kebaikan masyarakat Melayu.

Sepertimana juga hari ini, persaingan antara media, majalah dan surat-surat khabar bukan hanya persaingan perniagaan. Hampir setiap parti politik mempunyai surat khabarnya sendiri, atau syarikat-syarikat media yang dipegang bahagian besar sahamnya oleh parti politik. Jumlah surat khabar yang banyak itu, sama sekali tidak menunjukkan bahawa wujudnya demokrasi, atau paling tidak wujudnya kebebasan media. Jauh lagi untuk dibicarakan soal etika dan kualiti media yang sedia ada.

Daripada pengalaman pertembungan “Kaum Muda” lawan “Kaum Tua”, sepertimana yang dirasai oleh orang-orang segenerasi Syed Sheikh, maka “Kaum Tua” pun menerbitkan majalahnya sendiri sebagai aksi balas dan mahu menyebarkan juga fahaman-fahaman mereka.

Melalui Majlis Agama dan Adat-istihadar Melayu Kelantan, maka diterbitkan Pengasuh(1918-37) beredisi dua kali sebulan. Edaran majalah itu tidak hanya di Kelantan sahaja, tetapi ke negeri-negeri lain di Semenanjung. Bahkan untuk mengawal pengaruh dan orang-orang “Kaum Muda”, maka di Kelantan diwujudkan satu undang-undang untuk mengawal sesiapa yang mahu mengajar atau memberi kuliah di majlis-masjid mahupun di tempat awam.

Di bawah peraturan undang-undang Agama Islam tahun 1904, sudah wujud undang-undang yang melarang sesiapa “kecuali dalam rumahnya sendiri, dan di depan anggota keluarganya sahaja, mengajar sebarang ajaran agama melainkan dia terlebih dahulu mendapat izin bertulis berbuat demikian dari Duli Yang Maha Mulia Sultan”.[15] Lalu, tidaklah terlalu sukar untuk kita mengerti bagaimana sistem kawalan itu dilakukan sehingga ke hari ini.

PENGUASA GELAP
Dalam buku sama, William juga mengutip kembali tulisan Hamka yang mengkritik keras “Kaum Tua”. Kali ini sasarannya para mufti—kita juga tahu bahawa Hamka adalah antara sarjana Muslim-Melayu-Sumatera yang tergolong sebagai “Kaum Muda”.

Menjadi Mufti dalam keradjaan-keradjaan Melayu itu sangatlah megahnja. Memakai pakaian rasmi dengan pingat, berpisang sesikat di bahu, djubahnya berukir-ukir benang mas, dan serban daripada sutera dan mempunyai motokar sendiri. Rakjat pun sangat takut dan thaat, sisanja dimakan, sepah sirihnja dikunjah. Dan kalau beliau ingin hendak kawin, bismillah!”
Bukan cuma hari ini di Malaysia, sejak seawal dasawarsa lalu pun, ketika politik dua kubu itu tercetus, orang politik dan penguasa selalu diam serta gelabah apabila timbul isu-isu yang genting, yang memerlukan daya pengamatan dan berfikir. Mereka seakan-akan lebih gemar membiarkan sahaja. Seakan-akan tidak faham apa perlunya turut serta di dalam perbincangan dan debat terbuka. Tapi, setidak-tidaknya, ke atas Presiden pertama Indonesia, Soekarno bukan kepalang dia menuliskan fikiran-fikiran dan gagasannya kepada sebuah negeri yang bakal lahir. Dia tak pernah takut untuk ikut berpolimik secara terbuka, di dalam surat-surat khabar mahupun majalah. Soekarno aktif untuk turut sama membicarakan soal sejarah, idea-idea daripada serata bangsa, kebudayaan, pemikiran agama dan sebagainya. Mungkin itulah yang membezakan antara dua bangsa serumpun ini dalam sejarah kelahiran dua negeri ini.

Meskipun bertentangan di dalam soal pemikiran, termasuk melihat erti bangsa dari jaring-jaring agama, makalah “Pembela Islam” pernah menerbitkan kembali siri tulisan Soekarno yang diberi judul, “Surat-surat dari Endeh”. Sementara tulisan Soekarno itu diterbitkan, penulis-penulis dan aktivis di dalam Pembela Islam terus bertanding dan lawan hujah dengan para pengikut Soekarno, atau dipanggil juga sebagai kelompok “Soekarno cs”. Apa yang terjadi, kalau pun tidak lebih buruk ialah makalah Pembela Islamjuga tetap yang membela Soekarno ketika Soekarno dibicarakan atau “diadili” di hadapan Landraad Bandung oleh pemerintah kolonial.[17
]
Selanjutkan, Soekarno yang diketahui sebagai pemimpin besar, mempunyai pengikut bahkan pendukung di kalangan bijak pandai, tetap pula meneliti dan berdebat secara terbuka dengan Natsir, seorang anak Minang yang ke Jakarta untuk belajar dan kemudiannya mengharung cabaran mendirikan sekolah. Perdebatan pemikiran dan cerpik api polimik antara lainnya ialah apabila Natsir cuba menjawab tulisan Soekarno yang begitu mempertahankan Kamal Attatuk di Turki. Saking demikian, Natsir juga segera mengungkapkan bahawa Islam sebagai “ideologi” selepas dihambat kembali oleh karangan balas Soekarno yang antaranya di bawah tajuk-tajuk seperti “Cinta Agama dan Tanah Air”, “Rasionalisme dalam Islam” dan “Islam dan Akan Merdeka”. [18]
Pertembungan sebegini tidak dapat kita ikuti dengan jelas wujudnya di Semenanjung, sama ada sebelum mahupun selepas merdeka. Menurut anak Syed Sheikh, Syed Alwi yang berusaha membetulkan kembali pandangan yang dikutip ramai orang daripada Za’ba yang menyatakan bahawa Syed Sheikh sebagai “anti-British”, adalah tidak benar.

Cerita Syed Alwi behawa bapanya sering menyatakan akan segala dan pelbagai-bagai keburukan raja, sultan-sultan Melayu, ulamak dan para pemimpin, tetapi tidak pernah menyebutkan tentang keburukan British. Kepada Syed Sheikh, Sultan-sultan Melayulah yang tidak pernah meminta daripada British peluang yang lebih untuk pendidikan anak negeri. Demikian, tak ada gunanya untuk menjadi seorang yang anti-British apabila kebanyakan orang Melayu masih menjadi penanam padi di desa-desa, “lebai”, “haji” dan guru-guru yang mengajar Quran juga masih terlalu miskin sehinga mengambil wang daripada anak murid sendiri untuk sara hidup.[19
]
Daripada sudut itu, maka terlihatlah bahawa tujuan agamawan yang selamanya dikritik “Kaum Muda” tak lain adalah mahukan masyarakat untuk belajar agama bagi membolehkan mereka memperolehi pendapatan… bukan kerana keperluan memajukan masyarakat dengan keupayaan akal sendiri. Sikap Syed Sheikh dalam berhadapan dengan persoalan penjajahan dan Inggeris dikatakan sama seperti pendekatan dan sifat S.A. Khan yang berhadapan dengan pemerintah Inggeris di India.[20] Tak ada gunanya mencapai kemerdekaan kalau tidak dengan persiapan untuk mentadbir negeri dengan baik, dan adalah mustahak untuk soal-soal keadilan, keamanan dan kebebasan segera dituntut seperti yang diingatkan agama.

Pada titik ini, persamaan yang dapat segera kita buat adalah bagaimana soal keadilan dandemokrasi, misalnya, yang menjadi tombak perjuangan sejak September 1998 harap-harap bukan hanya untuk menggerakkan rakyat untuk menggantikan pemerintah, tetapi untuk benar-benar kembali manfaatnya kepada msa depan rakyat. Kesempatan yang diperoleh oleh “Kerajaan Reformasi” bukan kesempatan untuk pemimpin politik dan elit penguasa menukar telefon bimbit atau iPad setiap dua-tiga bulan, berganti kereta besar, berumah bukan main mewah dan melonggok kekayaan untuk diri dan anak-pinak sendiri. Hal berkenaan sesungguhnya tidak lebih baik daripada membida nombor plat kereta!

Apa yang dibimbangi sebagai punca lemban mahupun runtuhnya tamadun itu bisa sahaja terjadi andai persoalan asas pembaharuan dan matlamat-matlamatnya masih juga tidak terjawab. Cuba saya rungkai dengan pantun ini:
Bagaimana titi tidak patah,
Susun bata kayu tak rapat;
Bagaimana hati tidak gundah,
Lain dicita lain yang dapat.
Demi masa, zaman akan tetap bergerak. Namun semangat pembaharuan dengan pencerahan (akal) itu nampaknya tidak akan pernah mampu dimatikan oleh sesiapa jua.

*Tulisan ini merupakan bahan sisipan di dalam Forum Nusantara (Siri 5) anjuran Penang Institute (PI) dengan tajuk “Syed Syeikh bin Syed Ahmad Al-Hadi Pengasas Madrasah Pulau Pinang: Pusat Tumbuhnya Gerakan Pencerahan di Malaysia?” pada 16 Jun 2012, pukul 9 pagi di dewan Auditorium Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), Bandar Perda, Pulau Pinang.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.